Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Archive for the tag “kehidupan”

Tragedi yang Mengajar Erti Kehidupan

Pesanan pertama dan juga muqaddimah dari aku : taatlah pada kedua Ibu & Bapa, ingatlah pada jasa dan bakti mereka kepada kita yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata, tak mampu ditulis dengan pena mahupun diluah dalam blog.  Itu saja sudah cukup untuk kita tidak menderhaka pada mereka dalam apa jua keadaan kita.

Hari ini 8 Syawwal 1431H dan juga 8 Syawwal pada tahun-tahun mendatang tetap akan ku kenang sebagai hari pertama “kelahiran semula” aku dan tahun ini 1431H genaplah sudah 1 tahun aku memulakan semula kehidupan yang makin mencabar dengan dugaan dan rintangan yang mungkin bertambah.

Subhanallah ! Alhamdulillah ! Allahu Akbar !

Tragedi  7 Syawwal 1430H bersamaan 27 September 2009M masih segar diingatanku. Aku masih mengingati dengan jelas turutan atau sequence berlakunya tragedy tersebut dari intro – klimaks – ending.  Sungguh besar anugerah Allah padaku pada tarikh tersebut, anugerah yang merobah struktur asas keimanan dan ketaqwaan hambaNya ini. Anugerah yang mencetuskan gelombang tsunami pada oasis qalbu sekaligus melenyapkan mahligai kelalaian dan mencetuskan pembinaan istana syukur, kesyukuran tak terhingga atas segala ni’mat Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya.

Tragedi 7 Syawwal ?

Kereta Proton Savvy yang dinaiki oleh aku ketika berlakunya kemalangan

Itulah hari aku terlibat dalam kemalangan jalan raya di jalan utama Raub – Bentong pada jam 4.30 a.m. Alhamdulillah accident tu tidaklah sampai mengorbankan mereka yang didalamnya walaupun secara logiknya sepatutnya mengorbankan orang didalam kereta tersebut jika dilihat pada keadaan fisikal kereta itu. Itulah kuasa Allah, taqdir dan iradah(kemahuan) Nya.  Alhamdulillah!

Accident itu menyebabkan aku mengalami kecederaan pada tulang belakang, apa yang disebut sebagai Multilevel Compression pada tulang belakang, juga retak pada L1. Ruas tulang yang terlibat adalah T11, T12 & L1. Ringkas cerita, aku terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan 2 batang rod titanium & 6 biji screw titanium untuk menyokong dan membantu pemulihan kecederaan tulang belakang.

gambar X-ray tulang belakang selepas operation

Ni’matnya Ujian

Ujian, musibah dan dugaan yang dihadapi dengan penuh kesabaran akan dapat dirasai kenikmatannya. Pada sangkaan kita musibah itu musibah walhal jika kita bersabar dan menghargainya pasti musibah itu bukan musibah tapi satu rahmat dari-Nya sebagai kesedaran dari kelalaian terhadap-Nya. Benarlah kata Allah didalam surah Al- Baqarah: 216 ;

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Indahnya ujian dan musibah itu jika sabar menjadi bentengnya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh Dr. Aidh Al-Qarni dalam buku tulisannya Hadaa’iq DZatu Bahjah dimana beliau menulis seperti berikut yang bermaksud :

Saat tak ada lagi sahabat karib yang menghibur, kala tak ada lagi teman yang menemani, tidak juga sahabat yang simpati, maka kesabaran menggantikan posisi mereka semua. Kesabaran mampu berbicara atas nama semua. Kesabaran mampu memenuhi kewajiban sahabat dan kerabat. Kesabaran yang indah tidak ada keluhan didalamnya.

….Sabar yang baik adalah kemampuan menanggung musibah dengan diam, menerima terjahan masalah dengan tenang dan menerima hentaman dengan redha.

Tragedi 7 Syawwal itu mengajar erti kesabaran yang benar pada diri ini. Memang keretakan tulang belakang itu tidaklah begitu sakit, tapi kesan sampingan yang dialami aku selepas menjalani pembedahan begitu menguji kesabaran. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah dan aku tidak ingin menyalahkan sesiapapun, kecualilah side effect itu menjejaskan secara total masa depanku (mahu taknya aku saman je..hehe). Side effect itu menyebabkan aku mengalami hyper-sensitive skin pada sebelah kaki kiri. Kena angin pun pedih, kena air rasa macam kulit disiat, apatah lagi bila disentuh….letak je tangan atas kawasan tu pun dah terasa pedihnya belum betul-betul sentuh lagi. Tapak kaki berdenyut-denyut, mencucuk-cucuk rasa seperti kulit kaki disiat dan dikelar bertubi-tubi. Ketika itu tiadalah ucapan yang keluar melainkan pujian & doa pada Allah.

picture by soulflamer of devian art

Allah….Allah…Allah….

Apa sahaja doa dan munajat yang terlintas dalam benak fikiranku terus dituturkan keluar. Tiada lagi sekutu atau syirik bagi Allah, bahkan ungkapan kalimah Allah pada ketika itu begitu terasa dan menusuk qalbu. Pastinya susah untuk mengikhlaskan hati pada tahap 100% pada Allah ketika kita berada dalam keadaan sihat walafiat, ucapan Allah ketika sakit itu begitu berharga bagi mereka yang merasainya. Kenikmatan berdoa, bermunajat dan memuja-muji Allah begitu terasa dikala musibah. Keindahannya tidak dapat dirasai dan digambarkan bagi orang yang senang dan sihat. Saat itulah lafaz Allah dilafazkan dengan begitu ikhlas dan mendalam.

Terlantar di hospital selama 1 bulan memberikan 1001 pengajaran dan ibrah yang begitu bermakna dalam kehidupan aku. Kematian dirasa begitu dekat apabila pesakit sebelah meninggal dunia, dihari yang lain pula pesakit di depan katil aku pula yang meninggal, lusanya pula pesakit satu wad meninggal dunia.

Kehidupan didalam wad juga memberikan kesedaran padaku bahawa begitu ramai saudara seagama yang tidak menunaikan tuntutan asas dalam Islam, SOLAT. Kesemua pesakit dalam wad adalah Muslim namun tidak sampai 10% yang menunaikan solat. Jumlah 10% itu terdiri dari kalangan mereka yang berusia lanjut yang sedar mereka akan meninggalkan dunia ini, itu suasana yang berlaku di Hospital Kota Bharu, Kelantan, negeri yang terkenal dengan penduduknya kuat berpegang pada ajaran Islam. Aku sempat dimasukkan ke dalam wad di Hospital Kuala Lipis, Pahang, lain pula kisahnya. Pakcik tua yang berumur sekitar 70-an yang sakit kaki, begitu gigih memanjat kerusi untuk menukar channel television sedangkan solat diabaikan. Astaghfirullah….hanya itu mampu aku lafazkan melihat gelagat pakcik tua yang masih belum menerima cahaya hidayah dari Allah.

Ini juga satu peringatan buat doktor dan setiap Muslim supaya menjalankan misi dakwah mereka kepada pesakit. Doktor Muslim harus dapat membantu pesakit yang jahil untuk menunaikan solat ketika sakit, itulah pentingnya  doktor Muslim mempunyai ilmu asas Islam yang kukuh. Kebanyakan pesakit beralasan tidak tahu cara bersolat ketika sakit, jahil akan perkara paling ASAS dalam agama, Solat adalah tiang agama. Sebagaimana disebut dalam satu hadis (walaupun statusnya dhoif)

لصَّلاةُ عِمادُ الدِّينِ ، مَنْ أقَامَها فَقدْ أقَامَ الدِّينَ ، وَمنْ هَدمَها فَقَد هَدَمَ الدِّينَ

Solat itu tiang agama, siapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama, dan siapa yang mengabaikannya maka dia telah memusnahkan agama.

Cukuplah sedikit perkongsian ini sebagai iktibar kepada kita semua. Jika ingin dikisahkan semua pengajaran yang aku dapat, rasanya mustahil untuk ditulis dengan ringkas di sini. Insya Allah, jika diberikan peluang dan masa, ibrah dari tragedy itu mampu dikongsikan dengan lebih detail. Mungkin bagi sesetengah orang, accident ini tidaklah begitu tragis dan teruk. Namun tidak semua orang mengambil manfaat dari musibah yang dialami mereka. Bagi sesetengah orang, accident yang hampir meragut nyawa dan menyebabkan kecacatan kekal sekalipun belum tentu mampu memberikan impak positif kearah menghampirkan diri pada Allah, meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Sedang bagi mereka yang kadang-kadang hanya terjatuh tangga sudah cukup mengingatkan dia pada Allah.

Dale Carnegie didalam Public Speaking & Influencing Men in Business, menulis bahawa ahli psikologi ada mengatakan :

We learn in two ways : one, by the Law of Exercise, in which a series of similar incidents leads to a change of our behavioral patterns; and two, by the Law of Effect, in which a single event may be so startling as to cause a change in our conduct.

Bagi aku Law of Effect itu lebih baik daripada ditimpa musibah berulang-kali baru nak sedar macam Law of Exercise. Namun semua itu bergantung pada kesedaran dan ikhtiar seseorang untuk lebih hampir pada Allah.  Hadapilah musibah itu dengan penuh sabar sebagaimana sabarnya rasul ulul ‘azmi [ al-Ahqaf:35]

Bersabarlah dengan kesabaran yang elok dan baik [al-Maarij:5] dan ingatlah kata-kata Nabi Yaaqub (a.s) saat memujuk hatinya supaya bersabar atas kehilangan Nabi Yusuf (a.s) :

فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَاللَّـهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ

“Bersabarlah Aku Dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah Yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa Yang kamu katakan itu.” [ Yusuf:18]

**** sila baca perkongsian terdahulu  dalam entri yang lepas Zikir Menguatkan Tulang Belakang

Zikir Untuk Menguatkan Tulang Belakang

Pada 27 September 2009 bersamaan 7 Syawal 1431, aku terlibat dalam satu kemalangan yang boleh dikatakan tragis jika dilihat pada keadaan kereta yang terhumban 180 darjah dalam parit besar kaki bukit sekitar Gesing, Raub, Pahang dengan keempat-empat tayar ke atas. Resultnya, aku dapat kecederaan tulang belakang dengan 3 ruas retak dan remuk. Untuk menceritakan sepenuhnya pengalaman aku itu rasanya boleh dibukukan menjadi novel..haha (siapa tahu menjadi realiti). Entri kali ini cukup la aku ceritakan apa yang dapat dimanfaatkan kita bersama.

Semasa terlantar di hospital selama 1 bulan, alhamdulillah Allah memberi aku ilham untuk membaca takbir 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali. Bagaimana? aku flashback balik memori aku semasa belajar Biology masa sekolah menengah. Seorang guru lelaki ganti yang mengajar kelas tambahan pada hari minggu ketika mengajar Biology bab yang berkaitan tulang belakang berkata :

“Saya dulu seorang askar, dan untuk menguatkan tulang belakang saya mengamalkan tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali”

Bila semak balik ilmu yang tak sampai sebesar kulit kerang pun yang ada pada aku, ada logiknya kata-kata guru terbabit. Mungkin guru tersebut tidak memberi penerangan yang lanjut kerana masa yang terbatas. Namun bagi murid yang belajar ilmu agama automatik boleh relate dengan agama. Ilmu untuk orang yang ingin memikirkannya.

Sama-sama kita renungi mafhum hadis berikut:

Dari Abu Hurairah (r.a) katanya, Fatimah meminta kepada Nabi (s.a.w) seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi (s.a.w): “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah kamu kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” ~ Riwayat Muslim

Mari kita sama-sama rungkaikan maksud tersirat disebalik hadis tersebut…

Sayyidah Fatimah mengadu penat bekerja pada siang hari apatah lagi bila melayan sanak saudara yang datang sehingga sakit-sakit badan beliau yang mulia (dalam riwayat yang lain). Pekerjaan kita seharian, pergerakan badan kita seharian disokong sepenuhnya oleh tulang belakang kita. Jadi, tulang belakang adalah point utama dalam melakukan pekerjaan.

Bila Sayyidah Fatimah mengadu penat dan sakit-sakit badan dan kemudiannya meminta khadam daripada Rasulullah, kerana kebiasaannya Rasulullah menerima hamba abdi yang dihadiahkan oleh raja-raja ‘ajam (bukan arab) sekitar jazirah. Lalu Rasulullah menawarkan yang lebih baik. Apa dia ?? jawapannya seperti mafhum hadis yang dapat anda baca di atas.

Bila kita fikirkan, mengapa 33 kali?? mengapa tidak 7,11,21,50,70,100 kali ??? Bila aku cuba kaitkan pernyataan guru biology aku tadi dengan hadis di atas, sememangnya ada hubungkait.

Point utama ; Tulang Belakang

Tulang belakang merujuk kepada susunan ruas tulang di bahagian belakang yang bertindak memberi sokongan kepada tubuh untuk berada dalam keadaan tegak.( sumber wikipedia)

Biasanya terdapat tiga puluh tiga (33) ruas tulang belakang (vertebra) pada manusia, termasuk lima yang bergabung bagi membentuk sakrum (yang lain terpisah oleh ceper invertebra) dan empat tulang koksiks yang membentuk tulang ekor. Tiga kawasan atas terdiri dari baki 24, dan dikelompok di bawah nama serviks (7 vertebra), toraks (12 vertebra) dan lumbar (5 vertebra), menurut kawasan didudukinya.

Subhanallah ! Alhamdulillah ! Allahu Akbar!

indahnya ciptaan Allah, begitu sempurnanya kejadiannya tiada tolok banding. Jadi, adalah logik saranan Nabi kepada Sayyidah Fatimah supaya membaca zikr tersebut untuk mengatasi kepenatannya. Kita dapat fahami, 33 kali itu mewakili setiap ruas tulang belakang kita itu. Mengapa Takbir 34 kali? rangkaian tasbih, tahmid & takbir itu sebenarnya menghasilkan jumlah 100.

sifirnya 33(tasbih) + 33(tahmid) + 34(takbir) = 100

Mungkin 1 takbir yang menjadikan angka 34 itu mewakili satu gugusan ruas tulang belakang.

Hasilnya, ketika berada di hospital aku mengaplikasikannya sebagai zikr untuk penyembuhan tulang belakang. Baik sebelum dan selepas operation. Aku niatkan setiap zikr itu pada setiap ruas tulang.1 tasbih untuk 1 tulang, 1 tahmid untuk 1 tulang, 1 takbir untuk 1 tulang dan takbir yang ke 34 itu aku niatkan untuk semuanya sekali. Allahu Akbar, kekuasaan Allah mengatasi segalanya, hanya dengan keagunganNya mampu menguatkan setiap ruas tulang belakang. Dari-Nya ujian yang menimpa kita, kepada-Nya kita bermohon kesembuhan, dan dari-Nya datangnya kesembuhan.

Alhamdulillah, selepas 20 hari operation aku mampu berjalan tanpa bertongkat! itu pun setelah 4-5 hari terapi berjalan dengan dipimpin ayahku tercinta, tiada yang mampu kuberikan kepadanya untuk membalas jasanya dari kecil sehinggalah besar dewasa apatah lagi ketika terlantar dihospital. Mungkin kita rasakan ayah tidak menyayangi kita sebagaimana seorang ibu sayang kepada anaknya. Namun sepanjang terlantar dihospital, ayah aku la yang menemaniku walaupun dia amat sibuk dengan kerjanya mencari rezki Allah untuk menyara kami sekeluarga. Begitu terasa kasih sayang seorang ayah, walaupun seorang ayah tidak menunjukkan rasa kasih dan sayangnya kepada si anak secara jelas kerana begitu sikapnya seorang lelaki, TABAH!. Mungkin Allah ingin aku lebih menghargainya dari sebelum ini. Subhanallah!

Ada 3 orang rakan seward aku yang mengalami masalah sama, tulang retak. Bila aku berjumpa dengan mereka 1 bulan selepas operation, dia menggunakan tongkat untuk berjalan sementara pulih sepenuhnya. Bukanlah tujuan aku untuk berbangga (na’uzubillah) tapi kita sememangnya memerlukan bantuan dari segi spiritual atau ruhani untuk kesembuhan fizikal. Penyembuhan inside-out. Ruhani-fizikal. Bahkan dari situ juga aku dapat muhasabah diri, aku ini harus bersyukur pada ni’mat Allah atas kesembuhan diri ini sedangkan masih ramai hambaNya yang lain tidak begitu. Alhamdulillah.

Aku yakin akan kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya.  Betul, operation itu satu ihktiar tapi jangan kita ketepikan usaha seperti doa dan sebagainya kerana doa itu adalah hubungan secara langsung antara seorang hamba dengan Allah. Sesungguhnya al-Quran itu tiada ragu-ragu padanya seperti mana ayat surah As-Syua’ara’ ayat 80:

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan”

Itulah pandangan peribadiku, dan begitu jugalah Allah mengajarku melalui pengalaman hidup yang telah ditaqdirkan-Nya. Setiap kejadian Allah itu padanya ada tanda-anda kekuasaanNya bagi mereka yang ingin berfikir. Wallahu A’alam.

p/s: jangan kerana entri ini aku disabitkan dengan pereka bidaah..hahaha. maklum la akhir zaman ni makin ramai orang yang ‘alim ..hahahaha

Sakit : Anugerah Yang Disalah-tafsir

Allah berfirman : 

Maksudnya :

Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, dia berdoa kepada kami (dalam Segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah Dia tidak pernah merayu (berdoa) kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.                                                                                                                                                       ~ Surah Yunus:12

Seperti biasa membaca Al-Quran selepas waktu maghrib telah menjadi rutin harianku sejak dibangku sekolah lagi. Biasanya aku hanya baca sekitar 1 rubu’ (1/4 daripada hizb), bila rajin  atau terasa khusyuk kadang-kadang boleh habis 1 juzuk. Baru-baru ni bacaan aku singgah pada ayat 12, Surah Yunus.

Zapppp!!! firman Allah ini menusuk tajam kalbuku, ayat ini tepat mengena pada diriku. 3 bulan lepas aku kemalangan dan terlantar di hospital selama 1 bulan, kecederaan akibat peristiwa itu masih lagi belum sembuh sepenuhnya sehingga kini. Namun selepas 1 bulan terlantar di hospital aku kembali melakukan dosa-dosa lama, dosa yang aku lakukan dalam keadaan sedar dan aku masih terkial-kial mencari jalan keluar…

keluar dari kehidupan yang dibaluti kemaksiatan.

Ya Allah ampunilah kelemahan diri hamba-Mu ini !

Sepertimana maksud ayat di atas, ketika menghadapi saat-saat kronik menahan kesakitan lidah dan bibirku sentiasa basah dengan zikrullah dan doa. Apa saja doa yang telah ku pelajari dan yang terlintas dalam fikiran ku terhambur keluar. Aku sedar musibah yang menimpa ini adalah kaffarah (penghapus) dosa-dosa yang telah aku lakukan. Itu jugalah ayat penenang yang disudukan pada jiwaku oleh mereka yang datang berziarah.Perkara ini telah dijelaskan oleh kekasih kita, Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis, antaranya :

Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya sebahagian daripada dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah….aku sepatutnya bersyukur dengan ‘kurniaan’ Allah ini, dengannya dosa-dosaku terhapus. Bahkan gugur berderai bila aku bangun dari katil hospital. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :

Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi berkata, bahawa kedua-duanya masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: “Bagaimana keadaanmu pagi ini?” Dia menjawab: “Aku berada dalam keadaan baik.” Syaddad berkata kepadanya: “Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “Apabila Aku menguji seseorang daripada hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya dia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa dia dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala kesalahan‘, dan Allah berfirman kepada malaikat penulis amal orang itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) ketika dia berkeadaan sihat.”

Sepatutnya apabila diri kita diberi ‘anugerah’ sebegitu rupa, kita berusaha menjaga kemuliaan anugerah itu semampu mungkin. Bukan perkara yang remeh apabila dosa kita dimaafkan sehingga ibarat kita baru dilahirkan ke dunia ini, bersih dari dosa dan noda !

Namun, aku tidak menyedari ketinggian nilai anugerah ini sehingga ianya tercemar. Alangkah ruginya orang yang melampaui batas seperti ku. Semoga coretan ini menjadi iktibar pada mereka yang lain, dengan harapan anugerah seperti ini tidak dicemari seperti yang berlaku pada diri ini. Yang lepas takkan kembali..sesal kemudian tiada gunanya lagi.

Berhati-hatilah !

Setelah menghayati ayat 12 surah yunus, baru ku sedar bahawa diriku hanya sekadar melafazkan syukur dibibir namun tidak mensyukuri ni’mat Allah secara total. Buktinya !..aku masih belum insaf melakukan dosa-dosa lama yang biasa aku lakukan sebelum musibah ini menimpa. Kalau ikutkan ayat tersebut..aku tergolong dari kalangan mereka yang melampaui batas…memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan (tabiat lama).

Hanya dengan pertolongan Allah aku mampu mengatasi dugaan nafsu syahwat ini..

Dari keadaan diriku yang seperti ini jugalah aku sedar yang iman aku masih belum mantap..jika iman mantap tidaklah kehendak nafsu dituruti. Awaslah dengan diri anda ! jangan diri sendiri tertipu dengan kesyukuran yang disalah tafsirkan. Syukur itu mesti tercetus dihati, dilafazkan dengan Alhamdulillah dibuktikan pula dengan amalan.

Kunci syukur ada pada HATI !

Aku tidak berniat memberikan tazkirah agama disini..kerana aku bukanlah ustaz, bukan juga pelajar jurusan agama.

Apa yang pasti hidup tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Tiada maknanya hidup tidak bertuhan.

Kepada yang senasib, yang insaf sekejap time sakit bila sihat balik pada asal..jangan berputus harap dengan Allah. Pintu taubatnya sentiasa terbuaka luas. Kepada yang belum ditimpa musibah (semoga dijauhi oleh Allah) atau yang sedang ditimpa musibah anggaplah ini sebagai panduan dan iktibar moga tidak menyesal kemudian hari.

Kuih Tradisi Kelantan + Kuih Tradisi Makkah

assalamualaikum warahmatullah

Posting kali ni berkaitan dengan Kelantan Negeri Serambi Makkah dari sudut pandangan aku..hahaha. Oleh kerana ianya dari sudut pandangan aku, ikut suka aku la nak tulis pasal apa sekalipun, samaada positif atau negatif.

Aku tahu korang yang baca posting ni mesti suka makan. Samaada yang memang dah terlebih makan, cukup2 makan atau yang tak cukup makan macam aku ni hah. Memandangkan semua orang suka makan, kali ini aku nak persamaan antara makanan Kelantan dan Makkah. Sebab aku sukakan kuih-muih lebih dari nasi, aku komen pasal kuih-muih je, orang Kelate bila sudah makan mesti ada kuih wat basuh mulut lepah make…(mouth watering)..hehe.

Pada pandangan aku, dan juga pandangan masyarakat dunia & 1Malaysia….orang kelantan memang suka makan yang manis-manis. Dalam hal ni, aku geram jgak pada orang bukan Kelantan..walaupun tak suka makan manis tapi bila buat air…huh..manis melekit kat kerongkong aku ni hah. Orang Kelantan makan makanan manis pun tak minum air manis macam tu. ‘Ala kulli hal..apa2pun..sama dengan je orang Kelantan dan bukan Kelantan. Aku tak mahu meneruskan repekan meraban aku ni. Jom kita usha-usha kuih muih Kelantan.

Gambar sebelah ni menunjukkan sejenis kuih tradisi yang terkenal dan rasanya takkan pupus di Kelantan. Nama diberi Buah Tanjung. Jangan risau, aku tak lari dari topik..ape kaitannya dengan kuih-muih kat Makkah? Orang arab Makkah pun makan kuih ni jugak ke?

Bukan itu yang aku maksudkan, setentunya rasa kuih-muih yang manis menjadi persamaan. Bukan manis biasa, tapi manis bergula. Kalau nak bandingkan dengan rasa manis, memang sifat kuih itu manis. Yang ini lain..manisnya bergula.. Siapa yang dah pernah sampai ke Makkah atau negara2 Arab pasti pernah merasa kemanisan kuih mereka.

Aku rasa tak perlulah aku terangkan satu-persatu pasal kuih-muih ni. Apa yang pasti, aku dah pernah merasa semua kuih-muih ni samaada yang Kelantanese atau Makki. Fokus kita adalah MANIS BERGULA & BERLEMAK..kuih arab biasanya manisnya berlemak sedikit berbeza dengan kemanisan kuih Kelantan.

Baklava ( Makkah )

Kuih Jala Mas ( Kelantan )

Kuih Basbousa ( Makkah )

Tapai pulut ( Kelantan )

Kuih Looqemat ( Makkah )

Kuih Putri Mandi ( Kelantan )

Kuih Boughasa ( Makkah )

Cukup dah tu…penat mengupload gambar ni bila internet cam sial..kuih-muih di atas memang sedap untuk dicuba bagi yang belum merasanya..resepi bagi kuih-kuih arab tu boleh je cari kat internet, boleh cuba buat sendiri..tak perlu susah-susah nak pergi negara Arab. Bagi yang malas nak tanya Mr.Google, aku bagi satu link..sila click disini . Tapi tak dapat rasa yang ori le… kat Kuala Lumpur ada banyak restoran arab, so anda boleh pergi makan kat situ dan cuba dessert yang dijual..setentunya MAHAL…yang perutnya ada external tank tu mesti dah rasa kosong perut…air liur meleleh tengok gambar kuih di atas..hahaha.

Cinta Yang Ditinggalkan…

Aku percaya ramai sekali muda-mudi Muslim yang mengalami dilema ini yang juga pernah dilalui oleh diriku sendiri….oleh itu aku berasa terpanggil untuk berkongsi kisah yang dihadiahkan oleh sahabatku……depanpanduankendali-usrah-remaja

“Akhi, dulu ana merasa semangat saat-saat aktif dalam dakwah. Tapi, belakangan ini rasanya semakin terasa hambar. Ukhuwah makin kering kontang, bahkan ana melihat ternyata banyak ikhwah pula yang aneh dan pelik!.”


Begitu keluh kesah seorang mad’u(murid) kepada murabbi(guru) nya di suatu malam. Sang murabbi hanya terdiam, mencuba terus menggali semua kegelisahan dalam diri mad’u-nya. “Lalu apa yang ingin anta(kamu) lakukan setelah merasakan semua itu?” Sahut sang murrabi setelah sesaat termenung seketika.


“Ana ingin berhenti saja, keluar dari tarbiyah ini. Ana kecewa dengan perilaku dan sikap beberapa ikhwah yang kerana tidak islami. Juga dengan organisasi dakwah yang ana geluti; kaku, dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Jika terus begini, lebih baik ana bersendiri saja.” Ikhwah itu berkata.

Sang murabbi termenung kembali. Tidak kelihatan raut terkejut dari roman wajahnya. Sorot matanya tetap terlihat tenang, seakan jawapan itu memang sudah diketahuinya sejak awal. “Akhi, bila suatu kali anta naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah rosak.Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang reput, bahkan kabinnya penuh dengan sampah bauan kotoran akibat manusia. Lalu apa yang antalakukan untuk tetap sampai pada tujuan?” Tanya seorang murabbi dengan kiasan yang mendalam maknanya.
Sang mad’u terdiam berfikir.Tak kuasa hatinya mendapat umpan balik sedemikian tajam dengan kiasan yang amat tepat. “Apakah anta memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?”
Sang murabbi mencuba memberi jawapan kepadanya. “Bila anta terjun ke laut, sesaat anta akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan lumba-lumba.
Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan anta untuk berenang sampai tujuan? Bagaimana bila ribu datang? Dari mana anta mendapat makan dan minum? Bila malam datang bagaimana anta mengatasi hawa dingin?” Serentetan pertanyaan dihamparkan dihadapan sang ikhwah tersebut.
Tidak semena, sang ikhwah menangis tersedu. Tak kuasa hatinya menahan kegundahan sedemikian. Kekecewaannya kekadang memuncak, namun sang murobbi yang dihormatinya justeru tak memberi jalan keluar yang sesuai dengan keinginannya.
“Akhi, apakah anta masih merasa bahwa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju redha ALLAH SWT?” Pertanyaan yang menghujam jiwa sang ikhwah. Ia hanya mengangguk.” Bagaimana bila ternyata kereta yang anta bawa dalam menempuh jalan itu ternyata rosak dan bermasalah? Anta akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu tersadai ditepi jalan, atau mencuba memperbaikinya? ” Tanya sang murabbi lagi.
Sang ikhwah tetap terdiam dalam esakan tangis perlahannya. Tiba-tiba ia mengangkat tangannya; “Cukup akhi, cukup. Ana sedar. Maafkan ana, InsyaALLAH ana akan tetap istiqomah. Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan. Atau agar setiap kata-kata ana diperhatikan. Atau ana mendapat nama di sisi manusia “Biarlah yang lain dengan urusan pribadi masing-masing. Biarlah ana tetap berjalan dalam dakwah. Dan hanya ALLAH saja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji- NYA. Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana.” Sang mad’u berazzam dihadapan sang murabbi yang semakin dihormatinya
Sang murabbi tersenyum. “Akhi, jama’ah(kumpulan) ini adalah jama’ah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Tapi disebalik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Dengan begitu mereka sedang berproses menjadi manusia terbaik pilihan ALLAH SWT.”

usrah2
“Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu meresahkan perasaan anta. Sebagaimana ALLAH SWT menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuslah kesalahan mereka di mata anta dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Karena di mata ALLAH SWT, belum tentu antum lebih baik dari mereka.”
“Futur, mundur, lemah atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang masuk akal. Apabila setiap ketidakkesepakatan selalu disikapi dengan jalan itu; maka apakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?”Sambungnya panjang lebar.
“Kita bukan sekadar pemerhati yang hanya berkomentar. Atau hanya pandai menuding-nuding jari kerana sesuatu kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafir pun boleh melakukannya. Tapi kita adalah da’i. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diberi amanat oleh ALLAH untuk menyelesaikan masalah-masalah dimuka bumi. Bukan hanya meng”ekspose” nya, yang menjadikan ia semakin memperuncing dan membarah.”
Sang mad’u termenung sampai merenungi setiap kalimat murabbinya. Azzamnya memang kembali menguat. Namun ada satu hal yang tetap bergelayut di hatinya. “Tapi bagaimana ana boleh memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan ana yang lemah ini?”
Sebuah pertanyaan konstruktif akhirnya muncul juga.
“Siapa kata kemampuan anta lemah? Apakah ALLAH menjadikan begitu kepada anta? Semua manusia punya potensi yang berbeza. Namun tak ada yang mampu melihat bahwa yang satu lebih baik dari yang lain!”. Sahut sang murabbi.
“Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah kerjasama dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang pada semua ikhwah yang terlibat dalam organisasi itu. Kerana peringatan selalu berguna bagi orang yang beriman. Bila adasebuah isu atau fitnh, tutuplah telinga anta dan bertaubatlah. Singkirkan segala prasangka anta terhadap saudara antasendiri. Dengan itulah Bilal yang seorang budak hina menemui kemuliaanya. ”
Malam itu sang mad’u menyadari kesalahannya. Ia bertekad untuk tetap hidup bersama jama’ah untuk tetap mengharungi jalan dakwah dan tarbiyah. Kembalikan semangat itu saudaraku, jangan biarkan putus asa itu hilang, ditelan gersangnya debu yang menerpa. Biarlah itu semua menjadi saksi sampai kita diberi dua kebaikan oleh ALLAH SWT : Kemenangan atau Mati Syahid
Ikhlas adalah roh dari setiap amal. Ikhlas adalah motivasi yang kuat agar amal kita tetap terjaga sentiasa, tidak usang kerana kepanasan dan tidak luntur karena kehujanan,tidak ghurur karena pujian, dan tidak kendurkarena cacian. Terus bergerak kearah tujuan yang paling tinggi puncak dan cita-citanya. Peliharalah keikhlasan dalam berkerja. Semoga kita sama-sama terus istiqamah dalam D&T.

p/s : terima kasih pada yang memberi artikel ni padaku ….jazaakallah

Hidup = Kopi ???

Kopi atau Coffee (dalam bahasa Inggeris ) memang sinonim sebagai minuman makhluk bergelar manusia. Pelbagai jenis jenama kopi ada di pasaran sekarang ni, Kopi Janggut, Tongkat Ali, Kopi Jantan dan juga kopi KJ…hehehe…bukan Khairy Jamaluddin tapi Kopi Janda. Tidak diketahui sama ada Khairy Jamaluddin yang macam Janda atau kopi itu dihasilkan oleh janda Khairy…eh..silap pulak. Maaf la..tersasul.

Namun bukan jenama kopi yang ingin aku share disini. Tapi kehidupan kita yang hampir sama dengan keadaan kopi.

So, how the past can lead our future ??? Read the following story……

Once upon a time…Sekumpulan alumni universiti datang melawat seorang proffesor kesayangan mereka dirumahnya. Masing-masing menceritakan kehidupan mereka selepas tamat universiti, perbualan mereka pada hari itu bertukar kepada kesusahan yang mereka hadapi ditempat kerja, stress dan tekanan psikologi .

Sambil mereka berbual, proffesor tersebut pergi ke dapur dan keluar dengan satu dulang air kopi beserta cawan kopi yang pelbagai jenis dan nilainya juga berbeza. Ada cawan kopi cina, plastik, crystal dan juga kaca. Professor tersebut meminta mereka menuangkan sendiri kopi kedalam cawan untuk diminum. coffee_cup

Selepas mereka selesai menuangkan kopi masing-masing, masih terdapat  cawan yang tidak digunakan didalam dulang, cawan itu kelihatan biasa dan sudah lama.

Setelah mereka semua duduk dengan secawan kopi ditangan mereka, proffesor itu pun berkata :

” Adakah kamu perasan yang kamu tidak menggunakan cawan yang kelihatan biasa dan murah? Saya percaya inilah punca segala masalah dan tekanan yang kamu hadapi. Kamu tahu yang kualiti kopi tidak akan berubah dengan cawan yang berlainan. Semua mahukan kopi dan semua dapat, tetapi kamu memilih cawan yang kelihatan cantik berbanding kawan-kawan kamu.

Kehidupan kita pun macam kopi juga: pekerjaan kamu, wang dan status adalah ibarat cawan. Itu semua adalah bekas untuk kehidupan kita dan jenis cawan tidak akan menyebabkan kualiti hidup kita berubah.

cawan kopicawan kopi

Kadang-kadang kita terlalu fokuskan pada cawan sehingga terlupa untuk menikmati kopi yang dianugerahkan dan dijadikan oleh Allah.

Allah mencipta kopi bukannya cawan .

Jemput minum semua !”

p/s : The Cup has NO power on our LIFE..

Post Navigation