Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Kewajiban dan Persediaan Menunaikan Haji

** Entri ini adalah salinan khutbah Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu pada 15 Okt0ber 2010. Saya berasa begitu terkesan dengan khutbah kali ini, rugi kalau tak share.

Kewajiban dan Persediaan Menunaikan Haji

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ  ٧

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” Al-Hajj:27.

Ikhwanil Muslimin !

Saya mengingatkan diri saya sendiri dan saudara sekalian, marilah kita kembali kepada Allah, bertaqwa dan memohon ampun kepadanya dengan ikhlas. Semoga kita beroleh kebajikan didunia dan akhirat.

Pada setiap tahun apabila menjelang musim haji yang bermula pada awal bulan Syawwal sehingga tibanya hari kesepuluh bulan Zul Hijjah, sebahagian daripada umat Islam dimana jua mereka berada akan mengunjungi tanah suci Makkah al-Mukarramah bagi menunaikan fardhu haji. Mereka adalah manusia pilihan Allah untuk mengunjungi rumahnya dan merekalah tetamu Allah yang sangat diperkenan permintaannya.

Ikhwanil Muslimin!

Allah S.W.T menghendakkan wujudnya sebuah rumah yang tertua dan termulia di bumi sebagai qiblat umat Islam dan lambang keagungan dan kebesarannya. Qiblat Baitullah al-Haram ini menjadi lambang kepada mentauhidkan Allah S.W.T, tunduk kepadanya dan menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang satu disepanjang sejarah dibawah panji-panji kalimah tauhid لا اله الا الله وحده لا شريك له  dan kalimah talbiah   لبيك اللهم لبيك ، لبيك لا شريك لك .

Bagi merealisasikan iman dan tauhid kepada Allah dan perpaduan umat dibawah panji-panji tauhid kepada Allah S.W.T, Allah memfardhukan ke atas setiap orang Islam mengunjungi Baitullah al-Haram sekali seumur hidup untuk mengerjakan ibadah haji. Ibadah haji adalah di antara ibadah-ibadah yang terbesar didalam Islam dan termulia. Kerana ianya salah satu daripada rukun Islam, amalannya mencakupi amalan-amalan yang terdapat pada ibadah-ibadah lain serta banyak faedah yang akan diperoleh. Tidak sempurna agama seseorang hamba tanpa menunaikan ibadah haji apabila memiliki kemampuan yang boleh menyampaikannya ke sana.

Dengan mengerjakan ibadah haji ditanah suci Makkah al-Mukarramah, umat Islam mempunyai ikatan sejarah yang kukuh dengan nabi-nabi dan umat-umat tauhid yang lalu khususnya ikatan dengan nabi Allah Ibrahim alaihis salam dan keluarganya dimana ketika mengerjakan ibadah haji, mereka menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W dan syiar yang telah diasaskan oleh nabi Allah Ibrahim alaihis salam. Sekaligus dapat pula mendidik diri menjadi insan yang bertaqwa, bersabar dan sentiasa pasrah kepada Allah S.W.T.

Sesiapa yang cukup syarat-syarat, wajib mengerjakan ibadah haji dan umrah kerana sihat tubuh badan, memiliki perbelanjaan atau bekalan yang cukup untuk pergi dan balik, perbelanjaan ketika berada di tanah suci Makkah termasuk perbelanjaan anak-anak dan mereka yang dibawah tanggungannya semasa peninggalannya. Ada kenderaan pergi dan balik serta aman didalam perjalanan maka  hendaklah dia bersegera merancang untuk menunaikan fardhu haji kerana bersegera menunaikan fardhu haji itu adalah sangat dituntut. Usahlah ditangguh-tangguhkan khususnya bagi mereka yang sudah berumur dan berkelapangan. Sahutlah seruan Allah yang sentiasa memanggil dan menjemput anda kesana. Rebutlah peluang ketika ada kemampuan dan kesenangan. Sesungguhnya anda tidak mengetahui keadaan yang akan berlaku dimasa hadapan, pada diri, harta dan kesihatan anda.

Sabda Rasulullah S.A.W :

تعجلوا الى الحج (يعني الفريضة) فإن أحدكم لا يدري ما يعرض له – رواه أحمد

Maksudnya : Bersegeralah menunaikan haji (iaitu haji fardhu) kerana kamu tidak mengetahui apa yang akan menimpa diri kamu.

Sesungguhnya mati didalam keadaan tidak mengerjakan haji sedangkan sudah berpanjangan berada didalam kemampuan merupakan dosa dan maksiat yang besar serta kufur kepada ni’mat Allah Ta’ala.

Sabda Rasulullah .S.AW yang bermaksud : “ Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikan kepada Baitullah al-haram tetapi tidak mahu mengerjakan ibadah haji maka biarkanlah dia mati sebagai yahudi atau nasrani.”

Hari ini masih ramai orang yang kaya raya, sihat tubuh badan dan sudah lanjut usianya tetapi belum lagi menunaikan fardhu haji walaupun sudah melancong ke beberapa buah negara sedangkan ramai pula daripada kalangan mereka yang kurang berada tetapi sudah mengerjakan ibadah haji. Kenapa berlaku demikian? Jawabnya, mungkin kerana lemah dan kurang ikhlas didalam menghayati ajaran Islam serta jahil pula dalam hal-hal keagamaan serta dipengaruhi oleh kenikmatan dunia. Lantaran itu, tidak dibuka pintu hatinya oleh Allah S.W.T

Sesiapa yang memiliki penyakit ini hendaklah segera sedar dan bertaubat kepada Allah S.W.T serta bertindak mencari ilmu untuk beramal kemudian berikhtiar dan merancang untuk menunaikan fardhu haji. Jangan lupa berdoa kepada Allah agar dibuka jalan, dibuka hati dan dizinkan menunaikan fardhu haji.

Ikhwanil Muslimin !

Sesungguhnya mengerjakan haji di Makkah al-Mukarramah adalah antara amal ibadah yang sangat afdal untuk mendampingkan diri kepada Allah dan merupakan seafdal jihad tanpa mengangkat senjata dalam Islam. Pahala jihad yang besar ini akan diperoleh mereka yang mendapat “haji mabrur” atau haji yang diterima oleh Allah S.A.W kerana bersih niat dan amalannya. Sabda Rasulullah S.A.W   :

الحج مبرور ليس له جزاء إلا الجنة

Maksudnya: Haji yang mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan haji lalu tidak melakukan persetubuhan atau tidak menyebut kata-kata keji dan tidak melakukan perkara fasad atau maksiat nescaya kembali bersih dirinya daripada dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Untuk mendapat haji mabrur dan diterima Allah S.W.T, dinasihatkan supaya menyempurnakan beberapa perkara antaranya :

  1. Mengikhlaskan niat kepada Allah iaitu dikerjakan semata-mata kerana Allah.
  2. Mengikut peraturan-peraturan dan adab-adab yang ditetapkan oleh syarak dengan sempurna dalam setiap amalan haji. Oleh itu wajib mempelajari kaifiat (cara-cara) mengerjakan ibadah haji dan ibadah-ibadah yang lain dengan sempurna. Nafkah dan perbelanjaan haji hendaklah daripada harta yang halal dan bersih kerana Allah itu bersih Dia tidak menerima melainkan yang bersih.
  3. Segeralah bertaubat sebelum pergi mengerjakan haji dan kembalikan haq-haq orang yang diambil secara zalim kepada tuannya.
  4. Bersopan santun didalam semua hubungan dengan para hujjaj, bersabar, suka memberi pertolongan dan tabah hati dalam menghadapi sebarang ujian.
  5. Disamping menunaikan ibadah haji, ambillah kesempatan sebanyak mungkin untuk mengerjakan ibadah tambahan seperti sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir, bersalawat, berdoa memohon ampun daripada Allah S.W.T ditempat-tempat mustajab didalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi serta pastikan sembahyang fardhu lima waktu dapat ditunaikan secara berjamaah didalam masjid.
  6. Ambillah kesempatan untuk menziarahi maqam Rasulullah S.A.W, maqam shuhada’, dan para sahabatnya. Saksikanlah secara langsung tempat asal agama Islam yang kita anuti. Ambillah pengajaran bagi mengukuhkan iman dan rasa kasih kepada baginda Rasulullah S.A.W serta cintakan tanah suci Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah.

Setelah selesai mengerjakan ibadah haji dan umrah, hendaklah sentiasa menguatkan azam dan bertekad akan membuat perubahan pada diri dan keluarga agar dapat menghayati kehidupan secara Islam dan berjuang untuk Islam.

Kepada yang belum menunaikan ibadah haji dan umrah dinasihatkan bersegera merancang dari sekarang supaya tidak tergolong kedalam kalangan mereka yang cuai didalm usaha mengerjakan ibadah haji. Kepada muslimin dan muslimat yang akan menunaikan haji pada tahun ini diharapkan membuat persediaan yang cukup dan kami ucapkan selamat mengerjakan haji dan selamat pulang ke tanah air membawa seribu satu kenangan.

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّـهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ ٧

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” – al-Baqarah:197

 

Sumber : www.e-maik.my

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: