Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Sedekah Untuk Yang Tidak Bersedekah

Setiap kali hadirnya Ramadan yang penuh barakah, ayahku selalu berpesan dengan 4 perkara.

Katanya : “Ada 4 program utama di bulan Ramadan…

1. Berpuasa

2. Baca Al-Qur’an sebanyak yang mampu

3. Bersedekah semaksimum mungkin

4. Bersolat banyak-banyak (solat sunat) ..”

Itulah tazkirah seorang ayah kepada anaknya, mengingatkan perkara yang perlu diutamakan dibulan Ramadan, bulan yang penuh dengan tawaran-tawaran jual beli yang baik.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.  janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya  daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [ At Taubah : 111]

Sebenarnya banyak lagi aktiviti-aktiviti lain yang menjadi tunjang ibadah muslim di bulan Ramadan. Berkaitan amalan membaca Al-Qur’an di bulan Ramadan telah ku sentuh melalui perkongsian tulisan sahabatku dalam entri yang lepas. Dalam entri ini aku hanya ingin menulis berkaitan dengan SEDEKAH dengan harapan ianya menjadi tazkirah untuk kita bersama.

Ramadan kali memberikan cabaran dan ujian yang begitu terasa bagi sebahagian besar Umat Islam. Saudara kita di Palestine khususnya Gaza sentiasa dan terus diuji dengan kezaliman Zionis Laknatullah, bahkan kekejaman mereka makin terasa bila tiba bulan Ramadan. Sikap keperihatinan kita yang tinggi terhadap keadaan dan masa depan saudara kita di Palestine janganlah sampai kita melupakan nasib saudara-saudara kita di tempat lain.

Tepat dengan Ramadan sebagai bulan sedekah, saudara kita di Pakistan yang ditimpa musibah banjir yang meragut nyawa dan kemusnahan tempat tinggal amat memerlukan bantuan dan keperihatinan kita. Bantulah apa yang kita mampu, setakat ini masih belum kedengaran sebarang misi kemanusiaan dari Negara “Islam” Malaysia kepada masyarakat Islam di Pakistan. Jangan juga kita lupakan saudara kita di Kashmir dan juga beberapa tempat lain seperti Afrika dan Kemboja. Lihat saja bagaimana bersemangatnya mereka yang bukan Islam untuk bersedekah seperti yang telah aku nukilkan dalam entri  Australia Yang Berjiwa Islam

Sebagai seorang Muslim yang masih belum bekerja dan belum mempunyai sumber pendapatan tetap, kedatangan Ramadan kali ini menimbulkan keresahan di hati bimbang jika tidak dapat memperbanyak amalan bersedekah di bulan ini bulan yang digandakan pahala bagi setiap amal kebajikan. Sebenarnya keresahan itu boleh dikatakan sebagai keresahan yang tidak bertempat dek ilmu agama yang cetek.

Namun, bila dilihat dan disemak pada hadis atau sunnah Rasulullah S.A.W. maka yakinlah setiap Muslim yang Soleh tidak akan dikecewakan kerana pengertian sedekah boleh diterjemahkan ke dalam skop yang amat luas.

Bagi mereka yang mempunyai wang (tidak semestinya orang kaya) gunalah wang milik Allah itu untuk bersedekah membantu hamba-hamba-Nya yang memerlukan. Antara rahmat bulan Ramadan ialah jalan untuk bersedekah dilebarkan seluas-luasnya, dipermudahkan oleh Allah untuk kita menghulurkan sumbangan. Di bulan inilah kita diberi kesempatan bersedekah dengan menyumbangkan wang kita untuk majlis berbuka puasa, membantu fakir miskin (kerana di bulan ini Allah menghantar mereka untuk meminta sedekah), membayar zakat dan sebagainya.

Rasulullah menggalakkan kita supaya bersedekah dengan menjamu orang yang berbuka puasa dengan dijanjikan pahala orang yang berbuka untuk kita dan ketahuilah janji Allah dan Rasul-Nya adalah benar. Anjuran untuk menjamu orang berbuka puasa seperti maksud dalam satu hadis :

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy (r.a) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut.” [riwayat at-Trimidzi]

Akan tetapi, masih ada dikalangan Muslim yang buntu untuk bersedekah. Bagi mereka, aku tiada wang mana mungkin untuk aku bersedekah sedang untuk berbuka aku tidak mampu. Susahnya Islam apabila ajarannya ditafsirkan dengan sempit. Bersedekah tidak semestinya dengan wang ringgit, Islam tidak meletakkan kaya harta sebagai syarat bersedekah tetapi bersedekah adalah syarat yang wajib dipenuhi oleh Muslim yang kaya. Oleh itu, miskin macam mana pun kalau seseorang itu beriman dengan Allah maka dia pasti dan mesti berusaha untuk bersedekah. Ingatlah sabda Rasulullah S.A.W di dalam satu hadis :

عن عدي بن حاتم رضي الله عنه قال :

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: اتقوا النار ولو بشقّ تمرة

Daripada ‘Adiy Bin Hatim (r.a) katanya : Aku mendengar Rasulullah S.AW. bersabda  “Takutlah akan seksa neraka, sekalipun dengan hanya bersedekah sepotong kurma” [Muttafaq ‘Alaih]

Dengan sepotong kurma seorang Muslim mampu mencari syurga Allah dan menghindarkan diri dari azab neraka. Lihatlah pula pada penjelasan yang diberikan oleh Rasulullah didalam satu hadis :

عن ابي موسى رضي الله عنه عن النبي (ص) قال : على كل مسلم صدقة ،

قال : ارأيت ان لم يجد ؟ قال : يعمل بيديه فينفع نفسه ويتصدق ،

قال : أرأيت ان لم يستطع ؟ قال : يعين ذا الحاجة الملهوف ، قال : أرأيت ان لم يستطع ؟

قال : يأمر بالمعروف او الخير ، قال : أرأيت ان لم يفعل ؟

قال : يمسك عن الشر فانها صدقة .

Dari Abu Musa (r.a) dari Nabi S.A.W sabdanya : “ Setiap orang Islam itu harus bersedekah.” Abu Musa bertanya : “ Bagaimana jikalau dia tidak menemui sesuatu untuk disedekahkan?” Beliau menjawab : “Jikalau tiada hendaklah dia bekerja dengan kedua tangannya, kemudian dia dapat memberikan manfaat pada dirinya sendiri , kemudian bersedekah.” Dia bertanya lagi : “ Bagaimana kalau dia tidak mampu melakukannya?”. Beliau menjawab: “ hendaklah dia memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukan bantuan.” Dia bertanya lagi : “ Bagaimana kalau itupun tidak mampu dilakukannya?”. Beliau menjawab: “Hendaklah dia menyuruh orang melakukan perkara baik atau elok.” Dia bertanya lagi: “Bagaimana jika itupun tidak mampu dilakukannya?.” Beliau menjawab : “hendaklah dia menahan diri dari melakukan perbuatan jahat, maka yang demikian itu juga merupakan sedekah yang diberikan olehnya.” – [Muttafaq ‘Alaih]

Subhanallah! Indahnya agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W Amat bertepatan saranan Rasulullah di dalam hadis di atas dengan keadaan kita yang berada dalam bulan Ramadan. Jika kita tinggal bersama-sama ibu bapa kita, maka manfaatkanlah keupayaan kita untuk membantu mereka melakukan apa jua pekerjaan kerana membantu mereka yang memerlukan adalah sedekah. Siapa lagi yang paling layak menerima sedekah kita jika tidak ibu bapa kita sendiri. Sekalipun kita tidak tinggal bersama, kita masih mempunyai masyarakat setempat yang mungkin memerlukan bantuan kita, samaada bantuan dalam bentuk fizikal, kemahiran  dan sebagainya. Apa yang pasti tenaga yang kita gunakan, akal pemikiran yang kita manfaatkan untuk membantu orang lain adalah sedekah!

Bulan Ramadan juga bulan dimana kita dituntut untuk berpuasa dari makan dan minum. Selain itu, puasa yang kurang diberi perhatian ialah puasa deria dan nafsu. Untuk mendapatkan puasa yang sempurna, yang sempurna dan sempurna maka tidak dapat tidak kita mesti menghindarkan diri dari semua perkara yang  jahat . Menahan diri dari perkara kejahatan juga dikira sedekah ! Subhanallah !

Ingatlah juga bahawa setiap amal kebaikan yang kita lakukan juga dikira sedekah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

عن جابر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” كل معروف صدقة.”

Dari Jabir (r.a) katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “ Setiap perbuatan baik itu merupakan sedekah.”

Sehubungan itu, bersedekahlah semaksimum mungkin di bulan Ramadan bulan yang dijanjikan keampunan, kerahmatan dan perlindungan dari Neraka. Jangan dilihat pada jumlah atau kuantiti sedekah itu, tapi lihatlah pada kualitinya dan setiap perbuatan itu akan dikira disisi Allah sebagaimana firmanNya:

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرً۬ا يَرَهُ

Maka barangsiapa yang melakukan kebaikan seberat timbangan atom, maka ia tetap dilihat – diakhirat nanti memperoleh balasan. [ al-zalzalah : 7 ]

Diharap tulisanku kali ini dinilai sebagai sedekah yang maqbul disisi Allah, sedekahku untuk mereka yang tidak bersedekah dan juga yang selalu beralasan untuk tidak bersedekah.

Single Post Navigation

One thought on “Sedekah Untuk Yang Tidak Bersedekah

  1. bagus mas

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: