Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Cinta Bersemi di Madinah Al-Munawwarah

“Belum pernah kami mendengar mahar kahwin yang lebih mahal dan bernilai dari mahar kahwin Ummu Sulaim, (iaitu Abu Talhah memeluk Islam)”

Itu lah kata-kata penduduk Madinah apabila ditanya pasal Abu Talhah (r.a).

Abu Talhah memeluk Islam sebelum berlakunya peristiwa hijrah lagi. Bahkan Abu Talhah dan isterinya Ummu Sulaim termasuk dalam kumpulan 70 orang yang berbaiat dengan Rasulullah di ‘Aqabah. Itulah Abu Talhah, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bukan sahaja terkenal dengan kisah cintanya pada isterinya Ummu Sulaim, bahkan cintanya terhadap Rasulullah lebih agung daripada cintanya pada isterinya Ummu Sulaim.

Dari Anas (r.a), katanya : ” Abu Talhah adalah seorang dari golongan kaum Ansar di Madinah yang paling banyak hartanya, terdiri daripada kebun kurma. Di antara harta-hartanya itu yang paling disayangi olehnya ialah kebun kurmanya, Bairuha’. Kebun ini letaknya menghadap ke arah masjid Nabawi di Madinah. Rasulullah s.a.w. suka memasukinya dan minum dari sumber airnya yang nyaman dan bersih.” Anas berkata: ” Ketika ayat ini turun

لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون

yang bererti : “Kamu semua tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu semua suka menafkahkan dari sesuatu apa yang kamu semua cintai”- surah ali-imran : 92.

maka Abu Talhah berdiri menuju ke tempat Rasulullah s.a.w lalu berkata : ” Ya Rasulullah ! sesungguhnya Allah ta’ala berfirman : “Kamu semua tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu semua suka menafkahkan dari sesuatu apa yang kamu semua cintai”. Sedang hartaku yang paling aku cintai adalah kebun kurma Bairuha’, maka sesungguhnya kebun itu aku sedekahkan untuk kepentingan agama Allah Ta’ala. Aku mengharapkan kebajikannya serta simpanan di akhirat disisi Allah. Maka dari itu gunalah kebun tu ya Rasulullah, sebagaimana yang Allah beritahu kepada tuan.”

kemudian Rasulullah s.a.w bersabda : ” Aduh, yang demikian itu adalah merupakan harta yang banyak keuntungannya, berlipat ganda pahalanya bagi yang bersedekah, betul-betul harta yang banyak keuntungan. Aku telah mendengar apa yang engkau ucapkan dan sesungguhnya aku berpendapat supaya kebun itu engkau berikan kepada kaum keluargamu (sebagai sedekah)”

Abu Talhah berkata: ” Aku akan melaksanakannya ya Rasulullah”. Selanjutnya Abu Talhah membahagi-bahagikan kebun Bairuha’ itu kepada keluarganya serta sepupu-sepupunya. – muttafaqun ‘alaihi

Hadis yang panjang di atas rasanya sudah mencukupi untuk menceritakan peribadi mulia sahabat Rasulullah yang bernama Zaid Bin Sahl al-Najjary al-Anshory atau lebih terkenal sebagai Abu Talhah (r.a). Betapa tingginya keimanan dan ketaqwaan beliau apabila sebaik sahaja mendengar akan ayat Allah itu, terus dia berkejaran menemui Rasulullah untuk menginfaqkan hartanya pada jalan Allah, tanpa berfikir untuk kali kedua atau tanpa perlu berbincang dengan keluarganya.

Begitu hebat keyakinan para sahabat terhadap janji-janji Allah yang tidak ada keraguan padanya. Bagaimana dengan keadaan diri kita pada hari ini? adakah harta yang kita dapat hasil pemberian Allah telah kita belanjakan dengan betul dan baik?

Persoalannya, sedarkah kita bahawa harta yang kita peroleh hasil kerja kita adalah milik Allah secara MUTLAK? – sama-sama kita renungi !

Bulan ramadhan sudah hampir tiba hanya tinggal lebih kurang 1 bulan lebih saja lagi. Bulan dimana setiap Muslim digalakkan untuk menggandakan amalan kebajikan termasuklah bersedekah. Ringan-ringankan tangan menghulur bantuan kepada yang memerlukan kerana tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima. Oleh itu memang tak salah kata-kata Ustaz Hasrizal, hidup untuk memberi !

Lokasi Bairuha’

Dimanakah lokasi sebenar kebun kurma Bairuha’ milik Abu Talhah pada zaman sekarang?

Lima buah kubah biru melambangkan keagungan cinta Abu Talhah kepada Rasulullah

Ulama’ telah bersepakat bahawa lokasi Bairuha’ adalah kawasan dimana dibinanya 5 buah kubah biru di bahagian utara/belakang Masjid Nabawi sekarang. Jika anda ke Masjid Nabawi, apabila memasukinya dari bahagian belakang melalui pintu yang terletak dibawah 5 buah kubah ini, maka ingatlah yang anda sedang berdiri didalam kebun kurma Bairuha’ milik Abu Talhah. Kebun ini jugalah tempat yang selalu disinggah oleh Rasulullah untuk memakan kurma dan minum air dari sumber air yang terdapat didalam Bairuha’, sumber air yang paling bersih di Madinah suatu ketika dahulu. Namun semua itu hanya tinggal kenangan, apa yang penting ambillah semangat Abu Talhah yang bersegera menyahut seruan Allah dan Rasulnya sekaligus membuktikan betapa agungnya cintanya pada Islam.

Anda bertuah jika anda membaca coretan ini sebelum anda menjejak kaki ke bumi Madinah, sekurang-kurangnya selain sejarah rasulullah, anda juga mampu mengenang keagungan cinta para sahabat terhadap rasulullah. Aku yang menulis posting ini pun tidak mengetahui kisah disebalik 5 buah kubah biru itu ketika aku menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi 5 tahun yang lalu. Dengan penghayatan kita terhadap sirah perjuangan para sahabat akan memberi kesan yang lebih bermakna kepada iman dan taqwa apabila melalui kawasan-kawasan yang ada nostalgianya disisi Islam.

Sedikit Pengajaran dari Hadis

1. Hadis di atas menunjukkan bahawa Muslim yang Mu’min akan bersegera menyahut seruan Allah dan Rasulnya.

2. Bersedekah memang amalan yang amat digalakkan tapi seharusnya sedekah itu diberikan dahulu kepada kaum keluarga yang terdekat, kemudian barulah kepada orang miskin, ibnu sabil dan lain-lain.

3. Amal kebajikan kita didunia ini adalah untuk simpanan kita di akhirat.

4. Bersedekah atau memberi sesuatu pada orang lain haruslah memberi apa yang kita sayang bukan apa yang kita tidak mahu milikinya. Lihat la sikap Abu Talhah dengan menyedekahkan kebun kurma yang paling disayanginya dan yang paling berharga. Bagaimana dengan kita? takkan duit RM 50 pun dah rasa banyak? Abu Talhah bukan setakat RM50, kalau nak dikira nilai kebun kurmanya itu mungkin melebihi ratusan ribu ringgit jika dibandingkan dengan nilai sekarang. Itupun tanpa berfikir dan berbincang terlebih dahulu. Sedekah secara spontan!

Semoga bermanfaat bagi mereka yang masih belum mengetahuinya ! dan sebagai tazkirah buat mereka yang sudah mengetahuinya!

** hadis di atas diambil dari Riyadus Sholihin karya Imam Nawawi (rahimahullah) dalam باب الانفاق مما يحب ومن الجيد .

Single Post Navigation

One thought on “Cinta Bersemi di Madinah Al-Munawwarah

  1. Pingback: Berinteraksi Dengan Al Quran di Bulan Ramadan « savingmemoir

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: