Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Kisah Abu Qudamah dengan Remaja Yang Hebat

Cerita ini aku pernah publish dalam blog lama aku pada 2008, ni kira edisi re-publish dengan update sikit gaya bahasa & info tambahan.Moga bermanfaat!

Saja nak berkongsi cerita, tak tau la best ke tak cerita ni tapi bagi aku yang mendengarnya dari mulut orang mmg rasa hebat sgt kisah ni. Alkisah macam biasa la jawatan kuasa surau kat kampus aku menganjurkan tazkirah bulanan yg disampaikan oleh penceramah jemputan. Tazkirah bulanan ni biasanya dibuat pada hari Rabu pukul 3.30 ptg sekali sbulan dan setentunya aku tak dapat mengikutinya sebab ada kelas. Tapi kali ni dibuatnya pada hari Jumaat dan mmg jadual aku kosong pada hari jumaat rasa cam duk kat Klate jah. Penceramahnya pula seorg yang aku agak minat la berdasarkan corak penulisannya ala Dr. ‘Aidh Al-Qarni, nampaknya aku berjodoh dengan penceramah ni.

Pada 23 Mei lepas, lps solat Jumaat aku pergilah ke dewan nk dengar tazkirah oleh Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri, pensyarah Syariah dkat USIM. Kebetulan aku baru je beli buku Hadis Modal Insan siri-2 tulisan Dr. Zul ni so, aku mintaklah autograf  dari nya hanya untuk dijadikan kenangan. Tengah-tengah dia berceramah tu….dia pun berceritalah kisah yang pernah dialami oleh seorang sahabat Rasulullah. Maka, berceritalah Dr.Zulkifli seperti berikut ( lbey kurang la )……….

Pada zaman Saiyyidina Uthman (r.a) menjadi khalifah terdapat seorang sahabat bernama Abu Qudamah dilantik menjadi Gabenor di salah satu wilayah Islam. Selepas beliau bersara dari jawatannya, beliau pulang ke Madinah. Satu hari beliau sedang bersembang dengan para sahabatnya didalam Masjid Nabawi, lalu para sahabatnya berkata “ Wahai Abu Qudamah, sepanjang engkau menjadi Gabenor, bolehkah engkau ceritakan kisah atau peristiwa ajaib yang pernah engkau lalui ketika berjihad ?”

Abu Qudamah bercerita….. “ Baiklah…semasa aku menjadi gabenor, aku pernah beberapa kali memimpin tentera Muslimin berperang. Satu kali tu aku memimpin tentera Muslimin berperang menentang tentera Rom di negeri Syam. Dalam perjalanan menuju medan perang, aku singgah di bandar Raqqah (sebuah kota di Syria berdekatan sungai Euphrate), disitu aku membeli seekor unta untuk mengangkut kelengkapan senjata dan aku berceramah kepada penduduk bandar itu dan tentera-tenteraku dengan seruan Jihad fi Sabilillah . Pada tengah malam itu, aku berada dirumahku. Tiba-tiba pintu rumah penginapanku diketuk dan aku melihat seorang wanita yang menutup mukanya berada diluar rumahku. Aku berkata “ Wahai wanita, ingatlah akan azab Allah terhadap orang yang melakukan perbuatan terkutuk ” sangkaku wanita itu datang kerana berniat tidak elok padaku. Tetapi kata-kataku itu dijawab “ Tuan, aku datang bukan dengan tujuan yang jahat tetapi aku begitu terkesan dengan seruan jihad mu siang tadi. Suamiku dan saudaraku telahpun syahid mempertahankan agama Allah. Sekiranya aku ikut berperang sudah tentu engkau tidak akan mengizinkan aku. Oleh itu, aku mencukur kepala ku dan rambut ku ini aku jalinkan menjadi tali. Nah , ambillah tali ini dan gunakannya sebagai tali kudamu. Walaupun aku tidak sertai perang, biarlah tali ini mengikuti mu semasa berperang menegakkan agama Allah. Aku harap bila Allah melihat tali ini bersamamu berjihad Dia akan mengampuni dosaku” **Kemudian wanita itu beredar tanpa memperkenalkan siapa dirinya. Demi Allah, aku begitu kagum dengan semangat dan kegigihannya untuk turut sama berjihad serta kerinduannya untuk mendapat keampunan dan syurga dari Allah.

Keesokannya tibalah hari untuk kami bertolak ke medan jihad, saat kami melewati kubu Maslamah Bin Abdul Malik aku memeriksa barisan setiap batalion di bawah pimpinan ku. Semasa aku memeriksa barisan tentera, ada seorang tentera yang menutup mukanya dengan kain selendang. Aku menyuruhnya membuka kain yang menutupi mukanya untuk memastikan dia layak untuk berjihad namun dia enggan dan berkata “ Sekiranya tuan melihat ku nescaya tuan tidak akan membenarkan aku ikut serta berperang.” Aku mengatakan yang aku akan mengizinkannya berperang walaupun setelah melihat wajahnya. Kemudian dia membuka kain selendang itu dan alangkah terkejutnya aku melihat seorang budak lelaki remaja dalam lingkungan umur 15 tahun berada dihadapanku dan semestinya terlalu muda untuk pergi berperang. Wajah remaja itu sangat putih, bercahaya bak bulan purnama dan tampan. Aku berkata “Sebelum itu, siapakah orang tua mu ?” dia menjawab “ Ayah ku telah mati syahid”lalu ku tanya pula “Bagaimana dengan ibumu? Adakah dia masih ada?”dia menjawab “Ya, dia masih ada” lalu aku berkata padanya “Kembalilah pada ibumu dan jagalah dia elok-elok kerana syurga dibawah telapak kaki ibu”lalu dia berkata “Tuan tidak kenal ibuku? ibuku adalah wanita yang memberikan tali kepada tuan semalam untuk dijadikan tali kuda tuan itu. Ibuku juga berpesan : Wahai anakku apabila kamu berhadapan dengan musuh janganlah kamu lari, berikanlah jiwa mu pada Allah. Mintalah kedudukan disisiNya dan bersama-sama ayah dan saudara-saudara mu. Jika kamu syahid maka mintalah syafaat bagiku. Dia akan bersedih sekiranya aku kembali ke pangkuannya selepas perang. Aku seorang yang hafiz Al-Quran, pandai bermain kuda dan memanah. Maka izinkanlah aku ikut berperang.” Maka aku mengizinkan remaja tersebut ikut serta. Lalu bergeraklah aku dan tentera-tenteraku menuju ke medan jihad.

Setelah separuh perjalanan menuju medan jihad kami lalui, kami berhenti rehat di satu kawasan di sempadan negara Syam ( tempat tersebut sekarang ni menjadi sempadan antara negara Iraq dengan Syria ). Ketika itu kami berpuasa, sebagai seorang remaja yang rajin, dia menawarkan dirinya untuk memasak makanan untuk berbuka kepada tentera Muslimin. Setelah sekian lama menunggu tetapi makanan masih belum siap sedangkan para tentera berada dalam kelaparan. Aku berasa hairan dan menuju ke tempat memasak, apabila sampai aku melihat remaja tersebut tidur keletihan bersebelahan dapur memasak ( sebagai orang tua yang memahami keadaan, Abu Qudamah tidak mengejutkan remaja tersebut ). Aku biarkan remaja tersebut lalu meneruskan kerja-kerja memasak yang masih belum selesai. Sambil aku memasak aku melihat remaja itu yang sedang tidur tersenyum gembira, sungguh tenang melihat wajahnya lalu aku terus memasak. Tiba-tiba, remaja tersebut sedar dari tidurnya dan segera meminta maaf dari ku kerana cuai dalam menjalankan tugasnya. Lalu aku katakan padanya “ Ceritakanlah padaku apakah yang membuatkanmu begitu tersenyum semasa tidur tadi.” “ Tiada pentingnya tuan mengetahui akan mimpiku tadi” jawab remaja itu. “ Kalau begitu aku tidak akan memaafkan kecuaian mu.” kataku. Lalu remaja tersebut menceritakan mimpinya “ Ketika aku tidur tadi aku bermimpi mimpi yang sangat pelik, aku bermimpi aku memasuki satu taman hijau, ada sungai yang mengalir, pokok-pokok rendang dipenuhi buah yang masak ranum sedia untuk dimakan. Kemudian aku melihat terdapat satu istana yang dindingnya diperbuat dari perak, atapnya bertatahkan permata dan mutiara, pintunya daripada emas dan padanya langsir jarang yang mengurai panjang bila diselak tabir itu di sana terdapat bidadari-bidadari yang cantik wajahnya bak bulan purnama kemudian aku pergi berjumpa dengan mereka Lalu aku bertanya adakah kamu ‘Ain al-Mardhiyyah (bidadari)? mereka menjawab Tidak !! kami ini hanyalah khadam kepada bidadari tuan. Aku dibawa masuk kedalam satu istana yang sangat indah, didalamnya terdapat sebuah katil yang besar…bertiangkan emas dan dilitupi kelambu dan hamparan hijau berkilauan. Katil tersebut dikelilingi khadam-khadam yang tersangat cantik. Lalu aku menghampiri katil itu dan keluarlah bidadari yang wajahnya lebih cantik daripada perempuan-perempuan disisinya datang berdepan dengan ku lalu dia berkata : Hai wali Allah dan kekasih-Nya, Mulai hari ini aku untukmu dan kamu untukku. Kemudian aku mendekatinya untuk menyentuhnya tetapi bidadari itu mengelak dan aku hairan lalu dia berkata : Wahai kekasih hatiku, semoga Allah menjauhkanmu dari perbuatan keji, urusanmu didunia masih sedikit tersisa untuk diselesaikan, esok selepas zohor kita akan berjumpa. Setelah itu aku pun terjaga.” Setelah aku mendengar ceritanya itu, aku tersenyum dan tahu bahawa remaja tersebut adalah calon pilihan Allah yang bakal syahid dimedan jihad nanti. Aku berkata padanya “ InshaAllah mimpimu itu adalah petanda baik”, lalu kami pun sama-sama menikmati makanan berbuka puasa.

Kemudian kami meneruskan perjalanan kami ke medan jihad. Apabila samapai dimedan perang, komando perang pun menyusun kedudukan tentera dan meniup semangat jihad dengan membaca ayat :

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah..” – at-Taubah;41.

Kemudian berlakulah pertempuran yang sengit antara tentera-tentera Muslimin dan Rom. Aku sempat memerhati pergerakan pemuda itu, aku melihat dia di barisan paling depan lalu aku mengejarnya dan berkata padanya : “ Hai anakku, berundurlah kerana kamu masih mentah akan selok belok perang” kemudian dia membalas “ Ya ‘Ammu (pakcik) tidakkah pakcik dengar firman Allah :

“Hai orang-orang beriman, apabila kamu bertemu orang-orang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka(mundur). Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan lain, maka sesungguhnya orang itu kembali membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam. Dan amat buruklah tempat kembvalinya itu.”(QS. Al-Anfaal: 15-16) adakah pakcik mahu saya membelakangi mereka lalu dimasukkan kedalam neraka?”

Aku kagum dengan semangatnya kemudian aku cuba memujuknya “Wahai anakku, ayat itu maksudnya bukan seperti yang engkau katakan.” Namun dia tetap berkeras. Bertempurlah kami melawan musuh, banyak tentera Muslimin syahid, darah bersembur keluar menyimbah bumi, kepala-kepala syuhada’ bergolek jatuh menyembah bumi. Muka-muka mereka yang syahid tidak dapat dicam lagi akibat tetakan pedang dan berlumuran dengan darah.

Peperangan itu berterusan sengit sehinggalah masuk waktu zohor, alhamdulillah kemenangan berpihak kepada Islam. Setelah tamat perang masing-masing mencari rakan dan taulan yang terkorban, aku teringatkan remaja tersebut lalu mencarinya. Lalu kedengaran suara berteriak, “Panggil pakcikku Abu Qudamah!” Aku menuju kearah empunya suara sedang aku tidak dapat mengecam siapakah dia kerana mukanya penuh berlumuran darah dan badannya dipenuhi tikaman pedang dan mulutnya mengalirkan darah yang banyak apabila diamati barulah aku sedar dia adalah pemuda tadi, lalu aku berkata “Akulah Abu Qudamah” dan aku mengangkat kepalanya dan membaringkannya di atas peha ku. Kemudian remaja itu berkata “ Tuan, letakkanlah kepalaku ini di atas tanah supaya pipiku ini dapat merasakan tanah untuk kali terakhir sebelum menghadap Allah.” Aku tunaikan permintaannya, kemudian dia berwasiat kepada ku “ Tuan, aku ingin berwasiat kepada mu. Apabila tuan pulang nanti berjumpalah dengan ibu ku dan katakan padanya aku telah syahid, ibu ku pasti tidak percaya. Oleh itu, tuan ambillah bajuku yang berlumuran darah ini tunjukkan padanya sebagai bukti. Selepas itu, katakanlah kepada adik perempuanku yang berumur 9 tahun bahawa abangnya berada dalam jagaan Allah.” Seusai berwasiat, remaja tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir menghadap Allah. Aku mengebumikan jenazahnya dan bajunya aku ambil serta simpan dalam bekas.

Apabila kami sampai di kota, seperti biasa para penduduk kota akan berasak-asak dipintu kota menyambut kemenangan kami dan mencari sanak-saudara yang masih hidup. Ibu kepada remaja tadi juga mencari-cari anaknya tapi tidak ditemui, ditanya akan tentera-tentera yang pulang itu, seorang pun tidak mengenali anaknya itu lalu pulang ke rumahnya. Sebaik sahaja memasuki pintu kota, aku teringatkan wasiat remaja tadi padaku. Aku segera mencari rumah remaja tersebut dan menemuinya, terdapat seorang budak perempuan kecil sedang menunggu diluar rumah. Dia lantas bertanya “pakcik datang dari mana?” “dari medan jihad”jelasku “kalau begitu abangku bersamamu?” tanpa menjawab soalannya tadi lalu aku memintanya memanggil ibunya keluar Aku berhenti dan meminta anak kecil itu memanggil ibunya. Anak itu masuk memanggil ibunya keluar dengan menutup mukanya lalu berkata “ Kedatangan tuan ini ingin memberikan ucapan tahniah atau takziah kepadaku ?” tanya wanita tersebut kepadaku. “ Bolehkah puan memberitahuku apakah maksudnya tahniah dan apa maksudnya takziah ?” tanyaku kembali padanya. “ Tahniah sekiranya anakku telah syahid dan takziah sekiranya anakku masih hidup.”jawabnya. “ Kalau begitu aku ucapkan tahniah kepada puan.”kataku. Tetapi wanita itu tidak percaya seperti mana anaknya memberitahuku sebelum ini, lalu aku tunjukkan padanya baju anaknya. “Allahu Akbar!” laung wanita itu dengan kegembiraan. Anak perempuannya yang masih kecil yang berada dipintu rumahnya turut melihat baju abangnya yang berlumuran darah, faham bahawa abangnya telah syahid berteriak “Akhi! Akhi!” lalu jatuh rebah ke tanah ibunya bergegas mengambil air sedang aku memangku anaknya yang nafasnya semakin lemah, dia tidak mengeluh memanggil abangnya lagi kerana dia sedang nazak lalu perlahan-lahan menghembuskan nafasnya meninggalkan dunia yang fana’ ini, aku tidak sempat memberitahunya wasiat abangnya.

Sebagai seorang wanita yang berjiwa kental serta mempunyai pemikiran yang hebat, dia tidak sedikitpun menangisi kematian anak perempuannya itu. Dia keluar dari rumahnya mendukung anak perempuannya yang telah meninggal itu masuk kedalam rumah, aku yang masih berada diluar rumahnya hanya mampu melihat saja. Kemudian aku mendengar suara wanita itu dari luar rumahnya “ Ya Allah, aku telah memberikan suamiku, saudaraku kepadaMu dan kini anak-anakku. Maka, terimalah mereka semua Ya Allah.” Setelah mendengar kata-kata itu, aku menunggu untuk mendengar kata-kata seterusnya tetapi suasana terus senyap. Itulah peristiwa yang aku angggap ajaib yang aku pernah lalui sepanjang hidupku.” Kata Abu Qudamah menamatkan ceritanya kepada sahabat-sahabatnya. Begitulah ceritanya, mula-mula aku dengar cerita ni memang terasa nak menitiskan air mata. Bilakah aku akan tergolong dikalangan remaja yang hebat dalam kisah tersebut. Setidak-tidaknya, biarlah aku berpeluang berkawan atau paling tidakpun sekadar berjumpa dengan remaja yang mempunyai sifat seperti remaja tersebut. Itulah ceritanya setakat yang aku ingat dan yang aku sempat record guna handphone je.

** Ibnu Qayyim al-Jauzi dalam komentarnya berkata: “Wanita ini berniat baik namun dia keliru atau tidak faham akan caranya memotong rambutnya itu dan diberikan kpd Abu Qudamah adalah terlarang (kerana rambut adalah aurat wanita). Oleh itu dalam hal ini, kita berpegang pada niatnya yang baik itu”

untuk kisah2 lain sila click pada Learn From Stories

Single Post Navigation

5 thoughts on “Kisah Abu Qudamah dengan Remaja Yang Hebat

  1. asrar on said:

    kerdilnya diri..

  2. abudamia' on said:

    salam..wat a good and informative blog u got here bro…keep it up..u got talent.

    • mujahid on said:

      wsalam..haha..seems like u just know dat i have a blog. as u said u got “kinda of secretive siblings” lols.. inshaAllah i’ll keep up my talent. I love to write & I write on what life has thaught me..

  3. Wahh!!begitu detail,kuat betul ingatan Muja!!!

    • wan mujahid on said:

      Alhamdulillah, smoga Allah menganugerahkan aku kekuatan daya ingatan & kecerdasan fikiran. Aku tulis artikel ni selepas habis kuliah tu trus bknnya baru tulis tahun ni..haha. Cuma aku re-publish je.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: