Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Mengenang 62 Tahun Tragedi Nakbah

Apabila Israel melancarkan serangan teramat biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009, seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan. Bantahan dan kemarahan ini tiba-tiba reda dan berakhir apabila Israel menghentikan operasi ‘Cast lead’nya di Gaza. Meskipun media masih memberi liputan tentang kemusnahan dan penderitaan rakyat Gaza terutama pendirian Mesir yang terus menutup sempadan dan menyekat rakyat Gaza yang tercedera menyeberang di sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, namun tumpuan kepada isu ini dalam media antarabangsa hanya bertahan sekitar dua minggu sebelum ia dilupakan samasekali. Kini isu Gaza bahkan isu Palestin kembali kepada status qou iaitu satu konflik yang berpanjangan sejak 1948 tanpa menunjukkan sebarang petanda ia dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun bahkan beberapa dekad akan datang.  Realiti inilah yang mungkin menjadikan tumpuan terhadap isu ini turun dan naik seiring dengan insiden serangan besar-besaran atau pencerobohan regim Israel ke atas mana-mana wilayah Palestin dari masa ke semasa.

Kebetulan bulan Mei ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 62. Peristiwa Nakbah atau ‘Malapetaka besar’ dalam Bahasa Arab secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengistiharan Negara haram Israel pada 15 Mei atau disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan ‘War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) ke atas wilayah Palestin yang mereka rampas dan kuasai dengan cara-cara penuh biadap dan kebinatangan. Apa yang berlaku, Negara Israel yang diistiharkan pada 15 Mei 1948 itu adalah kemuncak kepada penderitaan rakyat Palestin yang diusir dan terdedah kepada aksi-aksi terorisme, gerombolan bersenjata Yahudi yang di bekalkan oleh penjajah British.. Maka peristiwa Nakbah merujuk kepada pengusiran 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan kampong halaman mereka lalu mencari perlindungan di wilayah sempadan Syria,. Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini enam puluh satu tahun peristiwa Nakbah berlalu, namun penderitaan yang ditanggung oleh 800,000 pelarian asal kini diwarisi pula oleh tidak kurang 5 juta anak-anak dan cucu-cucu mereka. Bererti, selama enam puluh tahun mereka masih menunggu dengan penuh harapan bila mereka dibenarkan pulang ke rumah-rumah mereka di Palestin. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan waris mereka mendapat hak untuk pulang ke tanah air demi memenuhi hasrat mereka yang tidak kesampaian kerana ajal telah menjemput mereka. Jika pahlawan kemanusiaan dan hak asasi manusia terulung diraikan oleh seluruh masyarakat antarabangsa iaitu Nelson Mandela kerana sanggup menanti 30 tahun di dalam penjara untuk mengembalikan hak dan kebebasan bangsa kulit hitam Afrika Selatan yang terbelenggu akibat Sistem Apatheid, maka pejuang dan rakyat Palestin yang mendiami khemah-khemah pelarian sejak enam puluh tahun lalu lebih wajar untuk dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan kecewa.

Kini yang menjadi masalah dari kemelut kemanusiaan ini adalah sikap dan pendirian masyarakat antarabangsa. Seluruh Negara bangsa mempunyai pandangan umum yang dibentuk hasil dari prapoganda regim zionis Israel terhadap isu ini. Yang pertama, Israel mempunyai hak untuk wujud dan keselamatan Israel dari jiran-jirannya dan sebarang usaha yang dilihat boleh mengancam keselamatan Israel, walau sekecil manapun tidak boleh dibenarkan.   Kedua, rakyat Palestin yang tidak mengiktiraf Israel dan menentang pendudukan Israel dilihat sebagai musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah dalam konteks yang lebih luas. Ketiga Israel punya hak untuk melaksanakan program keselamatannya termasuklah melancarkan ‘pre-emptive’ strike ke atas mana-mana sasaran di timur tengah untuk menjamin keselamatannya.

Inilah cabaran terbesar yang perlu diatasi oleh masyarakat antarabangsa untuk mencabar pandangan umum yang amat berat sebelah dan memihak secara melulu kepada Israel. Kecelaruan berfikir ini digambarkan dengan baik sekali oleh Mahaguru ilmu Sejarah Barat yang bernama Arnold Toynbee di mana beliau mengatakan

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Sesuai dengan pengamatan ini, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat madani (civil society) untuk menilai isu ini secara objektif dan berdasarkan fakta. Isu ini tidak akan diselesaikan dengan menggunakan pendekatan memihak atau ‘sektarianism’ samada dari sudut keagamaan, kebangsaan atau politik kesukuan. Seluruh dunia harus keluar dari melihat isu ini dari perspektif ‘muslim’ lawan ‘yahudi’ atau perebutan rakyat Palestin dan rakyat Israel ke atas satu wilayah di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, atau perebutan ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Haram al-Sharif dan Masjid al-Aqsa bagi muslim dan Jerusalem dan Temple Mount bagi Yahudi.

Ia harus dilihat dari sudut undang-undang antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam piagam bangsa-bangsa Bersatu 1945, hak asasi sebagaimana yang dipertahankan oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan Konvensyen Geneva ke IV, 1949. Jika diteliti tingkah-laku regim zionis semenjak ia berdiri sebagai sebuah entiti bernama Israel, maka jelas siapa yang melakukan pelanggaran undang-undang dan konvensyen antarabangsa. Asas inilah yang digunakan dalam menilai tindak-tanduk Israel sejak 61 tahun yang lalu.

Meskipun PBB telah meluluskan Resolusi 181 yang membenarkan 55% wilayah Palestin diserahkan kepada pendatang Yahudi, namun perlaksanaan resolusi ini tidak pernah mewajarkan pendudukan Israel ke atas 45% wilayah Palestin yang selebihnya iaitu Baitul Maqdis timur, Tebing barat dan Genting Gaza. Bahkan PBB telah meluluskan Resolusi 242 dan 338 supaya Israel berundur kembali ke garisan hijau yang dilakarkan oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949. Ini bermakna Israel wajib keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada tahun 1967 dan tidak ada sebarang kewajaran sedikitpun untuk Israel menguasai wilayah tersebut. Juga PBB telah meluluskan Resolusi 194 pada tahun 1949 mengizinkan pelarian Palestin pulang. Apa yang berlaku kini ialah Israel bukan sahaja tidak akur kepada resolusi-resolusi utama ini (landmark resolutions) bahkan puluhan dan ratusan resolusi yang menegaskan kembali tentang hak rakyat Palestin, bahkan telah mencabul hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki pada tahun 1967 dengan mendirikan kawasan perumahan ekslusif untuk kaum yahudi di atas tanah rakyat Palestin, mengusir dan merampas tanah rakyat Palestin dan kini membina tembok pemisah dari utara ke selatan Tebing Barat dalam wilayah Palestin.

Kini setelah Hamas muncul sebagai juara memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas, regim zionis melaksanakan pula program mengepung Gaza dari semua arah dan menukarnya menjadi penjara terbesar di dunia.

Dalam memperingati Nakbah pd bulan Mei 2010 ini, adalah amat penting bagi seluruh masyarakat antarabangsa mendedahkan hakikat sebenar di Palestin, supaya regim zionis tidak boleh lagi berselindung dan mempertahankan tindakan biadapnya atas alasan mempertahan ‘hak’ dan ‘keselamatn’ Israel

Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE

Palestine Centre of Excellence

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: