Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Haji Wan Adam Kampung Laut

TUAN GURU HAJI WAN ADAM ( 1906 – 1975 )

Nama beliau ialah Wan Adam Bin Che Ali Bin Che Senik (rahimahumullahu),lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Wan Adam Kg. Laut. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1906M  di Kampung Laut dalam Jajahan Tumpat, Kelantan, hasil perkongsian hidup ayahnya dengan ibu beliau, Wan Maimunah. Tiada maklumat yang tepat mengenai tarikh sebenar kelahiran beliau. Datuknya Che Senik, seorang guru Al-Quran berasal dari Champa, Kemboja yang kemudiannya berhijrah ke negeri Kelantan dan bermastautin di Kampung Laut. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang besar dengan jumlah adik-beradik beliau kesemuanya 23 orang hasil perkahwinan ayahandanya, Che Ali dengan empat orang isteri. Ayahandanya Che Ali juga merupakan seorang guru Al-Quran yang ‘alim dan wara’ dan mengajar di Kampung Laut. Manakala bapa saudaranya, Che Tahir merupakan Imam di Masjid Lama Kampung Laut.

 

PENDIDIKAN BELIAU

Persekitaran keluarga beliau yang berpegang teguh pada ajaran agama menjadi pemangkin kepada dirinya untuk turut mencintai ilmu agama. Beliau mendapat didikan asas daripada ayahandanya sendiri. Seawal usia remajanya, beliau dihantar oleh ayahandanya untuk menuntut ilmu di Pondok Mufti Haji Wan Musa di Jalan Merbau, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan salah seorang daripada 3 orang murid yang paling disayangi oleh gurunya, al-‘Allamah Mufti Haji Wan Musa anak Tuan Tabal (rahimahumallah). Maka tidak hairanlah jika gurunya ini banyak mempengaruhi pemikiran beliau dalam memperjuangkan sunnah Rasulullah dengan mengangkat Al-Quran dan Hadis sebagai sumber utama terutamanya dalam masalah Fiqh Ibadah. Dengan gurunya inilah beliau menuntut ilmu Fiqh dan Tasawuf serta menerima ajaran Tariqat Ahmadiah. Kemudian beliau dihantar oleh gurunya, Mufti Haji Wan Musa untuk menuntut ilmu hadis dengan Tok Khurasan (rahimahullah) seorang pakar hadis yang mengajar di suraunya di Kampung Sireh. Kecintaan beliau pada ilmu membawa beliau merantau ke Besut, Terengganu untuk menuntut ilmu dengan Tuan Guru Haji Abbas Besut. Disamping itu beliau juga sempat berguru dengan seorang ulama’ dari Makkah yang datang menetap di Kampung Dalam Pandan,Tumpat, iaitu Sidi Azhari (rahimahullah) yang merupakan salah seorang sheikh bagi Tariqat Ahmadiah (ulama’ ini kemudiannya kembali menetap di Makkah). Manakala berkenaan guru-guru beliau yang lain tidak didapati sumber yang jelas mengenainya. Selepas tamat pengajian, beliau kembali ke Kampung Laut dan membina suraunya tidak jauh dari Masjid Lama Kampung Laut. Beliau berulang-alik mengajar di surau tersebut dan satu lagi surau yang terletak di sebelah Hulu Market, Kampung Laut yang sekarang dikenali sebagai Surau Haji Wan Adam. Bagaimanapun surau beliau yang terletak tidak jauh dari Masjid Lama itu telah musnah dalam peristiwa Bah Besar sekitar tahun 1960-an. Sebagai seorang yang cintakan ilmu, hubungan beliau dengan guru-gurunya tidak pernah renggang walaupun setelah tamat pengajiannya dan saling berhubung. Kadang-kadang, gurunya Mufti Haji Wan Musa dijemput untuk mengajar di Kampung Laut. Beliau pernah ditawarkan jawatan Imam Besar Masjid Muhammadi Kota Bharu tetapi beliau menolak kerana tidak mahu terikat dengan Sultan yang menjadi ketua agama negeri.

PERWATAKAN

Sepanjang hayatnya, beliau dikenali sebagai seorang ulama’ yang tegas dalam pendirian dan juga garang. Beliau tegas mempertahankan pendirian beliau dalam menjunjung sunnah Rasulullah S.A.W dan tidaklah keterlaluan jika dikatakan beliau sebagai seorang reformis atau pembawa pembaharuan dalam ibadah masyarakat Islam di Kampung Laut. Beliau berani mengutarakan pandangan beliau berdasarkan ilmu walaupun ianya bertentangan dengan amalan penduduk Kampung Laut pada ketika itu dan ditentang keras oleh beberapa guru agama yang tidak sependapat dengan beliau. Namun begitu, kebanyakannya hanya berkisar kepada masalah furu’ (cabang agama) sebagai contoh beliau menentang amalan membaca talqin dikuburan yang  bertentangan dengan sunnah nabi dan banyak lagi perkara lain seperti masalah doa qunut ketika Solat Subuh, meletakkan ‘belindang’ atas kubur dikawasan perkuburan awam, sambutan Maulid Rasul dan lain-lain.  Sikap cintakan ilmu beliau dibuktikan dengan pertemuan mingguan beliau dengan sahabat seguru beliau di Kota Bharu untuk berdiskusi ilmu-ilmu agama dan kitab-kitab. Antara sahabat rapat beliau yang menjadi teman perkongsian ilmu ialah, Hj. Nik Mat Nazir Hj. Wan Musa, Hj. Nik Mahmud Hj. Wan Musa,Hj. Nik Hasan, Hj. Nik Mat Alim Raja Banjar (ayahanda Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz), Hj. Daud Kedai Kitab dan Maulana Abdullah Nuh. Betapa agungnya cinta beliau terhadap ilmu agama dapat digambarkan apabila suraunya lenyap dihanyut arus Bah Besar pada sekitar tahun 1960-an, puluhan kitab beliau turut musnah sama menyebabkan beliau demam selama seminggu memikirkan dan rindukan kitab-kitabnya yang telah musnah. Kitab-kitab milik beliau mengjangkau angka ratusan.

Selain itu beliau juga terkenal dengan sifat tawaduk beliau yang menundukkan pandangan beliau daripada wanita, beliau tidak bercakap dengan wanita kecuali ada tabir yang memisahkan pandangan beliau dengan wanita tersebut kecuali ahli keluarga yang terdekat. Beliau juga seorang yang bencikan perbuatan yang sia-sia seperti melepak di wakaf dan kedai-kedai kopi. Pernah satu ketika beliau membuang wakaf kecil yang dijadikan tempat melepak dan bermain ‘dam’ kedalam sungai. Terpengaruh dengan gerakan pemikiran dan tajdid oleh Sheikh Muhammad Abduh dan didikan Mufti Hj.Wan Musa menjadikan beliau seorang ulama’ yang progresif dalam memperjuangkan Islam dan ini dapat dibuktikan dengan penglibatan beliau dalam Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) serta menganggotai dewan ulama’ parti tersebut diperingkat kawasan.

MENINGGAL DUNIA

Pada tahun 1975, beliau mengerjakan haji bersama isteri dan anak lelakinya. Setelah berada di Makkah, beliau kemudiannya berangkat ke Madinah. Setelah 5 hari berada di Madinah, beliau ditimpa demam panas. Namun, Allah lebih menyayangi ulama’ ini, akhirnya beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Madinah pada 17 November 1975M pada usia 69 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi’ 70 langkah jaraknya dibelakang maqam Imam Malik (rahimahullah) dan bersama-sama ribuan para sahabat nabi. Beliau meninggalkan 7 orang anak hasil perkahwinannya dengan 2 orang isteri. Anak dengan isterinya yang pertama, Hajjah Wan Sufinah ialah Wan Fatimah, Wan Zainab dan Mohd Nordin. Manakala dengan isterinya yang kedua, Wan Aminah ialah Wan Khadijah, Wan Muhd Shamsuddin, Wan Ibrahim dan Wan Kalsom.

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: