Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Benarkah Imam Mahdi wujud ? # Part 4

Kesimpulan

Daripada huraian yang agak panjang lebar sebelum ini, dapatlah kita simpulkan ;

  1. Aqidah yang mengatakan bahawa Imam Mahdi al-Muntazir yang akan muncul di akhir zaman kelak adalah datang daripada Shi’ah, bukannya daripada Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah.
  2. Tujuan direka aqidah ini hanya samata-mata untuk tujuan politik, iaitu untuk menegakkan bahawa yang berhak menyandang jawatan khalifah bagi umat Islam selepas Rasulullah hanyalah daripada keturunan Bani Hashim sahaja. Oleh yang demikian, mereka itu tidak mengiktiraf khalifah Abu Bakr, Umar al-Khattab, ‘Uthman dan seterusnya yang tidak berketurunan Bani Hashim. Mereka juga tidak mengakui bahawa janji Allah didalam al-Qur’an kepada Nabi Muhammad dengan kezahiran agamanya mengatasi agama-agama yang lain, sebagaimana yang terdapat didalam ayat;

هو الذي ارسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون

Sedangkan situasi didalam ayat ini telah nyata pada masa pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin­ dan khilafah selepasnya. Sebaliknya kata mereka (Shi’ah) situasi itu tidak menjadi realiti melainkan apabila zahirnya salah seorang daripada keturunan Saidina Ali dan Saidatina Fatimah (r.a) di akhir zaman kelak. Pada waktu itu nanti barulah wujud sebuah Khilafah Islamiyyah seperti yang dimaksudkan dalam ayat di atas.

3. Berkenaan tiga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah itu pada pandangan ulama’ Muhaddithin dan Muhaqqiqin semuanya adalah daif, mengikut kaedah ilmu Mustholah al-Hadis ianya tidak dapat dijadikan hujah. Manakala mengikut pendapat al-Muhaddith Imam Shah Waliyullah ad-Dehlawi bahawa ketiga-tiga hadis itu masih boleh diterima walaupun tidak kuat dengan berpegang pada maksud bahawa hadis itu tiada kaitan dengan al-Mahdi al-Muntazir tetapi merujuk kepada Khalifah al-Mahdi daripada Bani ‘Abbasiyyah yang juga Ahl al-Bait Rasulullah.

Ada beberapa ulama’ yang bersependapat dengan Imam Shah Waliyullah itu tentang hadis mengenai al-Mahdi itu seperti Shaikh al-Khatib Baghdadi, Imam as-Suyuti dan juga Shaikh Rafi’ie sebagaimana yang terdapat dalam petikan dibawah ;

اخرج الترميذي عن سفيان الثوري وابن عُيَيْنة كلاهما عن عاصم عن زر عن عبدالله قال النبي صلى الله عليه وسلم : “لا تذهب الدنيا حتى يملك العرب رجل من أهل بيتي يواطئ اسمه اسمي.” قال ابو عيسى هذا حديث حسن صحيح ، ذكر السيوطي حاشية على الترميذي ان الرافعي قال في تاريخ قزوين . أورده الخطيب في كتابه تاريخ بغداد في ترجمة امير المؤمنين المهدي العباسي فكأنه اشار الى حمل لحديث على . قال استاذ السند ، الخطيب حمله ذلك والرافعي والسيوطي يصدقانه وليس في احاديث المهدي حديث صح في الأسناد منه .  – تفسير القرآن الخطبة للعلامة السندي

Maksudnya : Diterbitkan oleh at-Tirmizi daripada Sufyan at-Thauri dan Ibn ‘Uyainah, kedua-duanya daripada ‘Asim daripada Zarr daripada Abdullah, Nabi S.A.W telah bersabda : “Tidaklah hilang dunia ini sehinggalah seorang lelaki daripada Ahl al-Bait aku menguasai dunia, namanya sama dengan nama aku.” Kata Abu Isa at-Tirmizi, hadis ini hasan lagi sahih. As-Suyuti menyebut didalam Hashiyahnya berdasarkan kitab at-Tirmizi. Ar-Rafi’ie ada menyebutnya didalam kitab Tarikh Qazwin dan hadis itu juga dicatatkan oleh al-Khatib didalam kitabnya Tarikh Baghdad berkaitan dengan riwayat pengenalan Amir al-Mu’minin al-Mahdi al-‘Abbasiy, tulisannya itu menunjukkan bahawa orang yang disebut didalam hadis itu amat bertepatan dengan al-Mahdi al-‘Abbasiy itu.- Tafsir Al-Qur’an , Ubaidullah al-Sindh

Menurut kata guru kami, Maulana al-‘Alāmah Ubaidullah al-Sindh bahawa al-Khatib itu telah berpendapat al-Mahdi al-‘Abbasiy itu adalah orang yang dimaksudkan didalam hadis tersebut. Imam ar-Rafi’ie dan Imam as-Suyuti juga menyatakan hal demikian serta membenarkan pandangan itu dan tidak ada lagi hadis-hadis yang berkaitan Imam Mahdi ini yang sahih tentang sanadnya melainkan hadis di atas itu sahaja.

Hasilnya, tidaklah ada dalil yang boleh dipercayai dan dijadikan pegangan samaada daripada al-Qur’an mahupun hadis sahih mengikut persepakatan Ahli Hadis yang benar berhubung dengan masalah Imam Mahdi yang dikatakan akan muncul itu.

Sehubungan itu, umat Islam hari ini tidak lagi perlu menunggu-nunggu kedatangan Imam Mahdi atau yang seumpama dengannya untuk menegakkan syi’ar Islam dan mengembalikan kemuliaan serta kedaulatan yang sekian lama telah hilang daripada mereka. Bahkan apa yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mempelajari dan mengkaji dengan teliti hikmah-hikmah dan falsafah yang terkandung didalam al-Qur’an al-Karim dan al-Sunnah al-Nabawiyyah serta beramal dengannya mengikut panduan dan contoh-contoh yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W  dan para sahabat yang sama berjuang bersama baginda. Dengan demikian, Insha Allah kita akan memperoleh hasil sebagaimana yang diperoleh oleh umat Islam terdahulu pada zaman kemuncak ketinggian dan kemuliaan yang tidak ada tolok bandingnya didalam sejarah dunia ketika itu.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya berharap perkara ini dapat dikongsi bersama para alim-ulama’ yang lain dan berharap mereka yang lain juga turut membuat kajian. Jika mereka dapati dalil-dalil dan nas-nas yang lebih kuat dari apa yang saya kemukakan, pihak saya sedia menerimanya dengan berlapang dada dan dengan hati yang ikhlas kerana sudah kita maklum bahawa manusia itu tidak sunyi daripada salah dan silap. Walhamdulillahi Rabbil ‘Alamin.

Saya sudahi tulisan ini dengan ayat ;

قال فاتوا بكتاب اهدى منهما اتبعه

*** siap pada 25 Januari 1976 bersamaan 23 Muharram 1396

** Penulis, Almarhum Ustaz Nik Mahmud adalah anak kepada Mufti Haji Wan Musa, mufti ke-3 Negeri Kelantan. Beliau merupakan graduan daripada Universiti Islam Deoband, India. Beliau menuntut ilmu hadis bersanad melalui gurunya as-Syahid Maulana Ubaidullah Al-Sindh, juga pernah menuntut secara talaqqi dengan beberapa ulama’ besar di Makkah dan juga Umm al-Qura. Beliau juga merupakan pengasas kepada Sekolah Islah, Jalan Pekeliling, Kota Bharu.

**  Artikel ini asalnya dalam bahasa Arab dan telah diterjemahkan kedalam bahasa Melayu oleh Ustaz Luqman Abdul Latif pada tahun 1976 juga. Kemudian ianya dialih bahasa kepada gaya bahasa Melayu yang sesuai dengan gaya bahasa sekarang oleh Wan Mujahid Mohd Nordin pada 1 Julai 2009.

________________________________________________

Rujukan :

1. كتاب ازالة الخفاء في سيرة الخلفاء, oleh as-Syahid al-Muhaddith Imam Shah Waliyullah ad-Dehlawi

2.  كتاب التمهيد في أئمة التجديدoleh as-Syahid al-‘Alāmah Maulana Ubaidullah al-Sindh

3.  سنن ابن ماجة, oleh al-Muhaddith Imam Ibn Majah (r.h)

4.  مقدمة ابن خلدون, oleh Abdul Rahman Ibn Khaldun al-Maghribi

5.  فجر الإسلام, oleh al-‘Alāmah Shaikh Ahmad Amin

6.  كتاب الغنية, oleh Shaikh Abdul Qadir al-Jailani

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: