Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Benarkah Imam Mahdi wujud ? # Part 3

Huraian bagi persoalan ketiga

Sekarang tibalah masanya bagi mengkaji beberapa hadis yang berkaitan dengan persoalan kemunculan Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu dan apa pendapat ulama’-ulama’ hadis yang muhaqqiq terhadap hadis-hadis tersebut.

1. Hadis pertama ;

أخرج ابن ماجة في كتاب السنن عن عبد الله بن مسعود من طريق يزيد بن ابي زياد عن ابراهيم عن علقمة عن عبد الله قال بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم اذ اقبل فقية من بني هاشم فلما رأو هم رسول الله صلى الله عليه وسلم اغر ورقت عيناه وتغير لونه قال فقلت ما نزال نرى في وجهك شيئا تكرهه ان هل بيت اختار الله لنا الا خرة على الدنيا وان أهل بيت سيلقون بعدي بلأ ونشريدا وتطريدا حتى يأتي قوم من قبل المشرق معهم رايات سود فيسألون الخير فلا بعطونه فيقاتلون وينصرون فيعطون ما سألوا افلا يقبلونه حتى يدفعوها الى رجل من أهل بيتي فيملؤها قسطا كما ملأوها جورا فمن ادرك ذلك منكم فليأتهم ولو جبوا على ثلج….انتهى

Maksudnya : Dikeluarkan oleh Ibn Majah didalam Kitab al-Sunan, daripada Abdullah Bin Mas’ud melalui Yazid Bin Abi Zaid daripada Ibrahim daripada ‘Alqamah daripada Abdullah katanya : Tatkala kami berada disisi Rasulullah S.A.W tiba-tiba datang mengadaplah sekumpulan pemuda dari Bani Hashim. Setelah Rasulullah memandang mereka, berlinanglah airmata dari mata baginda dan berubahlah warnanya. Maka dia (Abdullah) berkata,  aku berkata : nampaknya ada sesuatu perkara yang tuan tidak ingini berlaku ? Baginda menjawab : Kami dari Ahl al-Bait telah dipilih oleh Allah akan akhirat bagi kami, tidak dipilih-Nya dunia ini untuk kami. Semua Ahl al-Bait aku akan menemui bala dan menjadi buruan selepas aku, hinggalah datang suatu kaum dari sebelah matahari terbit membawa panji-panji bendera berwarna hitam. Mereka ini meminta diberikan kebaikan , tetapi mereka tidak dikurniakan kebaikan lalu mereka pun berperang dan kemudiannya mendapat kemenangan, lalu mereka pun dikurniakan apa sahaja yang mereka minta dahulu itu(sebelum berperang). Tetapi, pada ketika itu mereka tidak lagi mahu menerimanya sehingga mereka menolak perkara itu kepada seorang lelaki dari kalangan Ahl al-Bait aku. Maka dia itulah yang memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana orang-orang terdahulu darinya memenuhi dunia dengan kezaliman. Maka barangsiapa daripada kamu ini sempat melalui masa itu dari aku sekarang maka hendaklah dia pergi menemui mereka itu walaupun dengan mengensot dan merangkak diatas salji sekalipun.

Hadis ini terkenal dikalangan para muhaddithin dengan nama hadis panji-panji. Tentang Yazid Bin Abi Zaid sebagai perawi hadis itu, mengikut Shu’bah dia adalah seorang yang kuat mengangkat hadis-hadis yang tidak masyhur sebagai hadis marfu’. Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal (r.h) pula memberi komen pasal Yazid itu mengatakan dia tidaklah seorang yang hafiz (yang menghafaz/mengingati hadis). Dalam komen yang lain pula Imam Ahmad berkata hadis itu tidaklah sebegitu.

Yahya Bin Ma’in pula berkata, perawi hadis itu seorang yang lemah dan daif. Abu Zur’ah pula berkata, hadisnya lemah, boleh untuk direkod tetapi tidak boleh dijadikan hujah. Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis beliau (Yazid) ini tetapi kerana syarat ada persamaan hadis dengan orang lain lagi. Secara ringkasnya, kebanyakan tokoh-tokoh hadis menganggapnya seorang perawi hadis yang lemah. Para Imam-imam telah berterus terang dengan melemahkan hadis yang diriwayatkan oleh beliau tadi, iaitu yang diterima daripada ‘Alqamah daripada Abdullah ( hadis panji-panji tadi ).

2. Hadis kedua ;

واخرج ابن ماجة عن ثوبان قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يقتتل عند كنذكم ثلاثة كلبهم ابن خليفة ثم لا بصير الى واحد منهم ثم تطلع الرايات السود من قبل المشرق فيقتلونكم قتلا لهم يقتله قوم ثم ذكر شيئا لا أحفظه ز قال : فإذا رايتموه فبايعوه ولو حبوا على الثلج فإنه خليفة الله المهدي . ( ورجاله رجال الصحيحين الا ان فيه ابا قلابة الجرمي وذكر الذهبي وغيره انه مدلّس

Maksudnya : Dan dikeluarkan oleh Ibn Majah daripada Thauban, katanya : Rasulullah S.A.W bersabda : Akan bergaduh dan berperang disisi perbendaharaan kamu tiga orang, semua mereka anak khalifah. Kemudian tidaklah seorang pun daripada mereka itu perolehnya. Kemudian timbullah panji-panji hitam dari sebelah timur. Mereka akan membunuh kamu dengan cara yang pernah dilakukan oleh tentera selain mereka itu. Kemudian dia menyebut sesuatu yang aku tidak mengingatinya. Baginda berkata lagi : Bila kamu  melihatnya maka berilah kesetiaan kamu kepadanya, walau dengan merangkak di atas salji, kerana itulah dia khalifah Allah al-Mahdi.

Dan rijal-rijalnya ( para perawi hadis ) adalah rijal yang diakui memenuhi syarat yang diguna pakai untuk hadis-hadis kumpulan kitan-kitab sahih hadis Bukhari dan Muslim, kecuali terdapat sedikit kekurangan pada hadis di atas iaitu ada terdapat dalam sanad hadis itu seorang yang bernama Abu Qulabah al-Jurmiy yang menurut Imam az-Zahabi (pengkaji hadis) dan pengkaji-pengkaji hadis yang lain mengatakan bahawa Abu Qulabah itu seorang yang mudaalis [ perawi yang tidak berikan nama orang yang meriwayatkan hadis itu, dan mudaalis juga bererti seorang perawi yang hadis yang sengaja membuat kekaburan tentang benarnya pandangan beliau akan hadis itu dari guru yang dikatakannya diambilnya hadis itu, padahal guru itu tidak pernah mengeluarkan hadis tersebut. Baginya (mudaalis) hadis ini bila ia sampai kepada muridnya maka muridnya akan percaya bahawa hadis ini juga antara hadis-hadis yang diriwayatkan oleh gurunya.]

3. Hadis ketiga ;

وأخرج ابن ماجة عن عبد الله بن الحارث بن جزء الزبيدي من طريق ابن لهيعة عن ابي زرعة عن عمر ابن جابر الحضرمي عن عبد الله ابن الحارث ابن جزء قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يخرج فاس من المشرق فيوطئون للمهدي يعني سلطانه. ( قال الطبراني تفرد به ابن لهيعة وقد تقدم لنا في حديث على الذي خرجه الطبراني معجمة الاوسط ان ابن لهيعة ضعيف وان شيخه عمر ابن جابر أضعف منه )

Maksudnya : Dan diterbitkan oleh Ibn Majah daripada Abdullah Bin al-Harith Bin Juz’un al-Zubaidi melalui jalan Ibn Lahi’ah daripada Abi Zur’ah daripada Umar Bin Jabir al-Hadhrami daripada Abdullah Bin al-Harith Bin Juz’un katanya; Rasulullah S.A.W bersabda : “ Akan keluar sekumpulan manusia dari sebelah timur, maka merekalah yang membuat rintisan dan persediaan bagi al-Mahdi, iaitu menyediakan kekuasaannya.”

Mengikut al-Tabrani, Ibn Lahi’ah sahaja yang menimbulkan hadis ini dan telah kita ketahui dalam hadis Ali yang diterbitkan oleh al-Tabrani didalam al-Mu’jah al-Awsat bahawa Ibn Lahi’ah adalah seorang yang daif dan bahawa Umar Bin Jabir itu adalah lebih lemah / daif daripadanya.

Ketiga-tiga hadis di atas yang ditakhrijkan (dikeluarkan) oleh Imam Ibn Majah itu telah diriwayatkan oleh Imam al-A’immah Shah Waliyullah ad-Dehlawi didalam kitabnya Azālat  al-Khafa’ Fi Sīrat al-Khulafa’. Maka mengikut pendapat beliau ketiga-tiga hadis itu setelah dikaji dan diteliti dengan halus nyatalah ( orang yang sebenar dimaksudkan seperti tersebut didalam hadis-hadis itu ) ialah Khalifah al-Mahdi daripada Bani ‘Abbasiyyah dan bukan al-Mahdi al-Muntazir yang disangkakan akan muncul di akhir zaman kelak.

Telah berkata guru kami, al-‘Alāmah Ubaidullah al-Sindh (murid Imam Shah Waliyullah) : al-Mahdi yang akan muncul di akhir zaman jika benarlah ianya wujud, maka dia tidaklah lebih hanya daripada menjadi salah satu daripada tanda-tanda akan berlakunya Qiāmat yang tiada lagi selepasnya sebarang penetapan Shari’ah apapun dan tidak akan wujud apa-apa undang-undang baru. Maka tidaklah wajar jika kejayaan dan kesudahan kaum Muslimin dikaitkan atau bergantung kepada kemunculannya.

Al-‘Alāmah Ubadullah berkata lagi : ketiga-tiga hadis di atas yang turut diriwayatkan oleh Imam al-A’immah Shah Waliyullah ad-Dehlawi itu biarpun semuanya diriwayatkan hanya didalam kitab-kitab  yang terkumpul dalam generasi ketiga, tetapi kita dapat juga menerimanya kerana asal puncanya memang ada sabit. Kata Imam Abu Daud (r.h) daripada Hilal Bin ‘Amru katanya ; aku telah mendengar Ali mengatakan Nabi S.A.W pernah berkata, akan keluar seorang lelaki dari negeri ما وراء النهر (lebih kurang negeri Iraq sekarang) dia dipanggil al-Hārith, dihadapannya seorang lelaki yang dipanggil al-Mansur yang akan membuat persiapan bagi membolehkan keluarga Nabi Muhammad berkuasa untuk memerintah sebagaimana Kaum Quraish memjadi perintis bagi Rasulullah S.A.W dan wajiblah ke atas setiap mukmin membantunya, atau dikatakan menyahut seruannya.

Hadis-hadis itu secara jelasnya adalah merujuk kepada al-Mahdi al-‘Abbasiy (seorang khalifah Dinasti ‘Abbasiyyah) sebagai orang yang diharap-harapkan kelahirannya bagi membela kepentingan kaum Muslimin sebagaimana yang telah dibuat kesimpulan oleh al-Muhaddith Shah Waliyullah ad-Dehlawi dan begitu juga telah nyata daripada hadis itu bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan Ahl al-Bait ialah Bani Hashim kesuluruhannya. Manakala ayat ( dia akan memenuhi bumi dengan keadilan ) bermaksud tidak lain tidak bukan khalifah itu bertindak mengikut al-Sunnah dan segala tindak-tanduk pemerintahannya sentiasa terikat dengan asas-asas dan batasan keadilan Islam seperti Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Sufyan at-Thauri telahpun berkata, jika adalah al-Mahdi maka dia itulah Umar Bin Abdul Aziz, ini disebutkan oleh Imam as-Suyuti didalam Tārikh al-Khulafa’.

Al-‘Alāmah Ubaidullah berkata, maka mungkin bahawa al-Mahdi al-‘Abbasiy ini menjadi titik kebenaran  bagi tiap-tiap hadis yang menyebut pasal seorang lelaki dari Ahl al-Bait secara samar dan kurang jelas. Diantaranya ialah hadis Ibn Mas’ud ini :

أخرجه ابو داود عن عاصم عن زرّ عن عبد الله عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : لو لم يبقى من الدنيا إلا يوم لطول الله ذلك اليوم حتى يبعث رجل مني او من اهل بيتي يواطئ اسمه اسمي واسم ابيه اسم ابي يملأ الأرض قسطا وعدلا كما ملئت جورا وظلما .

Maksudnya : Telah ditebitkan oleh Abu Daud daripada ‘Asim daripada Zarr daripada Abdullah daripada Nabi S.A.W bersabda : “Sekiranya tidak berbaki lagi umur dunia ini kecuali hanya satu hari sahaja lagi nescaya Allah akan melanjutkan hari itu sehingga bangkit seorang lelaki dari Ahl al-Bait aku yang bertepatan namanya dengan nama aku dan nama ayahnya dengan nama ayahku, dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelumnya bumi dipenuhi dengan kekecehon dan kezaliman.”

Haruslah kita ketahui bahawa nama tubuh bagi al-Mahdi al-Abbasiy itu ialah Muhammad Bin Abdullah dan beliau adalah salah seorang daripada Ahl al-Bait Rasulullah S.A.W dari keluarga Bani Hashim.

Inilah yang diisyaratkan oleh Imam Shah Waliyullah iaitu al-Mahdi yang akan keluar di akhir zaman dan apa yang masyhurnya ialah dia dari keturunan Sayyidatina Fatimah (r.a)dan Saidina Ali (k.w). Para ahli kasyaf yang mutakhirin telah bersepakat dan orang ramai juga telah menyelidiki tentang hal itu selepas kejatuhan Kota Baghdad, maka hasilnya ialah tidaklah warid satu hadis pun yang mengatakan dia dari keturunan anak-anak Ali melainkan hadis itu hadis yang lemah lagi daif.

Al-Alāmah berkata lagi, zahir daripada perbuatan Imam Abu Daud ialah beliau menjadikan al-Mahdi seorang daripada Imam-imam yang 12 orang itu. Oleh sebab yang demikianlah beliau mengeluarkan hadis ini diawal pada Bab al-Mahdi (dalam sunannya) dan juga disebutkan beberapa hadis yang memberi isyarat kepada kekuasaan Khalifah Abdullah Bin az-Zubair serta kisah tentang kemaraan tentera. Sesungguhnya Imam Malik (r.h) juga telah mengira Abdullah Bin az-Zubair daripada bilangan 12 orang imam itu tanpa mengira Khalifah Abdul Malik Bin Marwan sebagai salah seorang imam daripada 12 imam. Imam Malik menyebut pada awal bab (berkaitan al-Mahdi) hadis-hadis yang menyatakan secara samar bahawa al-Mahdi daripada Ahl al-Bait Nabi S.A.W kemudian beliau menyebut pula hadis-hadis yang menyatakan al-Mahdi dari keturunan Saidatina Fatimah (r.a) ataupun dari zuriat Saidina Hasan (r.a), kemudiannya beliau menyebut pada bahagian akhir bab itu hadis yang tidak lain tidak bukan merujuk kepada al-Mahdi al-‘Abbasiy. Seolah-olahnya, kenyataan/hadis terakhir itu perlambangan  untuk menyatakan bahawa  riwayat-riwayat yang sebelumnya (pada awal&pertengahan bab) adalah lemah dan bertentangan dengan hadis pada akhir bab itu.

Shaikh Abu at-Tib Shamsul Haq telah menyebut didalam kitabnya ‘Aun al-Ma’bud , puak Shi’ah menyangka (terutamanya Shi’ah Imamiyyah) bahawa Imam yang sebenar selepas Rasulullah S.A.W ialah Saidina Ali kemudian diikuti oleh anaknya Hasan kemudian adiknya Hussein kemudian anaknya Ali Zain al-‘Abidin kemudian anaknya Muhammad al-Bāqir kemudian anaknya Ja’afar as-Sādiq kemudian anaknya Musa al-Kāzim kemudian anaknya Ali ar-Ridha kemudian anaknya Muhammad an-Naqiy kemudian anaknya Ali an-Naqiy kemudian anaknya Hasan al-‘Askariy kemudian anaknya al-Qā’im al-Muntazir al-Mahdi. Mereka menyangka bahawa al-Mahdi telah bersembunyi daripada musuhnya dan akan muncul lalu dia akan memenuhi bumi dengan kesaksamaan dan keadilan sebagaimana bumi sebelumnya dipenuhi dengan kekecohan dan kezaliman dan tiada pula bantahan tentang panjang umurnya dan usianya yang lanjut.

Aku (al-‘Alāmah Ubaidullah) kata, sumber pertelingkahan diantara Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan Shi’ah pada pandanganku ialah bahawa al-Qur’an telah diturunkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan al-Qur’an itu telah mengagungkan baginda dengan kezahiran agamanya mengatasi semua agama lain. Akan tetapi, pembukaan kebanyakan negara-negara Kuffar terlaksana selepas kewafatan baginda melalui usaha khulafa’ al-Rashidin kemudian disambung pula oleh pemerintahan Bani Umayyah, Bani ‘Abbasiyyah, Empayar Moghul di India dan lain-lain lagi. Sedangkan puak Shi’ah tidak mengiktiraf pemerintahan semua khilafah tersebut (kerana mereka bukan dari kalangan Shi’ah/pengikut Ali). Maka perkara-perkara yang dijanjikan (kemenangan Islam) didalam al-Qur’an seolah-olah tidak pernah berlaku bagi mereka dan janji-janji al-Qur’an itu tidak mungkin akan terjadi (pada sisi Shi’ah) kecuali pemerintahan itu diperintah oleh seorang lelaki daripada zuriat keturunan Ali Bin Abi Talib dan Permaisuri kepada semua wanita, Saidatina Fatimah az-Zahra’, inilah asas aqidah al-Mahdi disisi Shi’ah.

Manakala pada sisi Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah, setiap apa yang dijanjikan didalam al-Qur’an telah dan akan dilaksanakan oleh Allah ke atas kekuasaan Muhajirin dan Ansar serta mereka yang mengikuti jejak langkah mereka. Sedangkan Ali adalah dikalangan dua golongan tersebut  begitu juga zuriat keturunannya yang termasuk dalam golongan tersebut. Kemudian jika kita teliti satu persatu hadis-hadis Nabi S.A.W dapatlah kita ketahui bahawa Nabi sendiri telah menceritakan akan kewujudan “dajal pembohong” dikalangan umat baginda, juga diceritakan bahawa dalam kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang benar, terpimpin lagi mendapat petunjuk. Mereka yang benar inilah akan melakukan tajdid (gerakan pembaharuan/reformasi) terhadap apa yang telah dirosakkan oleh pembohong-pembohong yang karut itu. Baginda juga menceritakan bahawa Imam-imam yang benar dan terpimpin itu, sebagaimana mereka wujud dari kelompok Kaum Quraish begitu juga mereka wujud dari kalangan Bani Hashim (Ahl al-Bait Rasulullah S.A.W). Inilah yang dikhabarkan oleh Nabi kita.

Maka puak-puak extremist dari golongan munafiq yang wujud dikalangan umat Nabi Muhammad S.A.W ini, mereka mahukan supaya orang-orang Islam mengambil satu konsep kenabian ( نبوة ) yang baru iaitu dasar keimanan dan mahadism selain daripada beriman kepada Nabi Muhammad dan al-Qur’an yang merupakan sumber keimanan sebenar umat Islam. Oleh itu, anda hendaklah berhemah dan teliti serta mengambil langkah berwaspada terhadap agenda munafiq ini. Janganlah anda menjadi pengumpul-pengumpul kertas yang bertimbun untuk menyebarkan risalah berkaitan al-Mahdi yang tidak benar itu.

nantikan kesimpulannya dalam entri yang akan datang…………..

Single Post Navigation

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: