Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Benarkah Imam Mahdi wujud ? # Part 1

Ketika aku menghadiri Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC baru-baru ini, salah seorang penceramah iaitu Dr. Azzam Tamimi mengeluarkan kenyataan bahawa Imam Mahdi tidak wujud dan hadis yang berkaitan dengannya adalah daif (beliau menyebutnya dengan nada yang agak keras). Kenyataan beliau mengejutkan para hadirin didalam dewan itu yang majoritinya masyarakat Melayu Muslim yang memang percayakan akan kemunculan Imam Mahdi. Sehinggakan seorang pakcik disebelah tempat duduk aku bertanyakan aku akan kebenaran kenyataan itu mungkin kerana aku mengangguk kepala mengiyakan kenyataan Dr.Azzam Tamimi. Alhamdulillah aku tidak termasuk dikalangan mereka yang agak terkejut mendengarnya ( kadang2 terkejut ni boleh bawa sakit jantung tau !! hehehe), aku tidak terkejut kerana aku pernah membaca satu artikel tentang masalah tersebut dan aku yakin dengan hujah serta dalil yang dikemukakan penulis.

Kawan-kawanku juga ada bertanyakan berkenaan kebenaran fakta dan kepercayaan majoriti masyarakat Muslim yang menanti-nanti kemunculan Imam Mahdi di akhir zaman. Sejak dari itu, keyakinan aku terhadap kebenaran artikel yang pernah aku baca bertambah kuat dan berazam untuk menyebarkannya untuk pengetahuan umum. Insha Allah artikel yang agak panjang ini (teks asalnya dalam bahasa Arab) akan aku siarkan dalam beberapa siri entri untuk blog ini. Hari ini, aku persembahkan artikel dibawah untuk makluman, kajian, kritikan dan komen (asalkan tiada unsur violence)..

Kemunculan Imam Mahdi

Oleh : Al-Marhum Ustaz Hj. Nik Mahmud Bin Hj. Wan Musa (1915-1980)

Diterjemahkan oleh : Luqman Abdul Latif

Diedit dan disusun oleh : Wan Mujahid Mohd Nordin

Kemunculan Imam Mahdi al-Muntazir di akhir zaman telahpun menjadi suatu aqidah kepercayaan dikalangan majority umat Islam diseluruh dunia, khususnya di Malaysia. Tetapi sehingga hari ini tiada seorang pun dari kalangan ‘alim ulama’ kita di Malaysia ini yang membuat kajian secara mendalam dan terperinci tentang masalah yang besar ini. Malahan mereka  rasa memadai dengan apa yang terdapat didalam kitab-kitab ulama’ mutakhirin sahaja dengan tidak membuat kajian dengan teliti akan nas-nas dan hadis-hadis berkaitan masalah tersebut, dan tidak memikirkan akibatnya kepada umat Islam dari segi kebaikan atau keburukan kesan dari aqidah ini.

Sehubungan itu, maka rasanya perlulah bagi saya mencari jawapan dan membuat kajian dalam masalah ini setakat yang mampu berdasarkan kebolehan yang ada pada saya sebagai satu kajian ilmiah yang akan membuka pemikiran umat Islam, khasnya bangsa saya ( rakyat Malaysia ) didalam masalah ini.

Untuk memahami masalah ini dengan lebih jelas, perlulah kita ketahui beberapa perkara yang berkaitan dengannya :

  1. Bilakah timbulnya pemikiran berkenaan kemunculan Imam Mahdi al-Muntazir diakhir zaman kelak? Adakah dizaman khairul qurun atau selepasnya?
  2. Golongan manakah yang menimbulkan pemikiran ini dan apakah dorongan yang menyebabkan mereka melakukan hal demikian?
  3. Bagaimanakah kedudukan hadis-hadis mengenai masalah ini disisi muhaddithin dan apakah pengertian sebenar hadis berkenaan?

Sebelum saya huraikan persoalan yang pertama, patutlah terlebih dahulu kita mengetahui akan pengertian kurun atau qurun ( selepas ini akan digunakan ejaan”kurun”) yang tersebut dalam sebuah hadis  yang berbunyi :

” خير القرون قرني ، ثم الذين بلونهم ، ثم الذين بلونهم ، ثم يفشو الكذب ……. او كما قال “

Maksudnya : “ Sebaik-baik kurun ialah kurun aku, kemudian orang yang mengiringi mereka, kemudian golongan yang mengiringi mereka itu, kemudian tersebarlah pembohongan……….”

Pengertian kurun mengikut istilah ahli sejarah ialah nama bagi setiap 100 tahun, dan kalau 3 kurun bererti 300 tahun dan inilah dikatakan zaman khair al-qurun mengikut istilah sejarah.

Tetapi, apabila kita meneliti sejarah Islam, kita dapati banyak perkara-perkara yang tidak diingini telahpun berlaku didalam 100 tahun pertama lagi. Contohnya, berlakunya peperangan dikalangan para sahabat Nabi S.A.W, timbulnya hadis-hadis palsu (maudhu’), zahirnya beberapa ajaran-ajaran sesat ( kepercayaan karut dan salah) dan timbulnya puak-puak mubtadi’ah (ahli bid’ah) seperti Shi’ah, Khawaarij, Qadariyah, Jabariyah dan pelbagai lagi.

Oleh hal yang demikian, maka Imam al-A’immah Shah Waliyullah ad-Dehlawi (seorang ahli hadis dan mufassir al-Qur’an) berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kurun seperti mana yang disebut didalam hadis tersebut itu ialah semata-mata masa dan bukanlah 100 tahun sebagaimana pengertian kurun dari segi istilah ahli sejarah. Menurut beliau istilah itu baru diberi pengertian oleh ahli sejarah moden dan ianya tidak boleh dijadikan tafsiran kepada hadis tersebut yang dilafazkan sebelum takrifan itu diberi lagi.

Mengikut pendapat Imam al-A’immah ini, tiga kurun yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah tiga masa iaitu kurun pertama ialah pada masa Nabi Muhammad S.A.W ( mulai daripada kebangkitan baginda dilantik menjadi rasul hingga wafat ),  manakala kurun kedua pula pada masa Khalifah Abu Bakr dan Khalifah Umar al-Farouq, dan kurun ketiga ialah pada masa Khalifah ‘Uthman Bin ‘Affan sehingga beliau wafat pada tahun 35 H.

Maka, tiga masa inilah yang dimaksudkan oleh hadis dengan tiga kurun tadi dan pada zaman inilah dikenali sebagai  ‘Asr az-Zahabi atau zaman keemasan didalam sejarah Islam, ini kerana pada zaman tersebut tidak pernah timbul sebarang masalah didalam Islam sebagaimana yang berlaku pada zaman selepas itu. Yang wujud pada waktu itu ialah taqwa, musāwah dan keadilan. Tafsiran kurun oleh Imam al-A’immah Shah Waliyullah ini terdapat dalam sebuah kitab karangan beliau bertajuk Azālat al-Khafa’ Fi  Sīrat al-Khulafa’ halaman 75,121,149.

Huraian bagi persoalan pertama

Sekarang kita kembali pada bicara berkaitan masalah Imam Mahdi al-Muntazir, adakah masalah ini timbul pada zaman Khair al-Qurun tadi atau pada zaman selepasnya ?. Setakat yang saya tahu bahawa masalah ini tidak pernah pun wujud pada zaman Khair al-Qurun malahan tidak timbul juga pada zaman selepasnya iaitu semasa berlaku perselisihan faham diantara sahabat Nabi, daripada keluarga Bani Umayyah dan keluarga Bani Hashim tentang jawatan khalifah sehingga membawa kepada satu peperangan saudara diantara Saidina Ali Bin Abi Talib (k.w) dan penyokong-penyokongnya dengan Mu’awiyah Bin Abi Sufyan serta penyokong-penyokongnya di Lembah Siffin. Dalam peperangan tersebut, pihak Mu’awiyah dari Bani Umayyah telah memperoleh kemenangan yang cemerlang ( walaupun dengan cara yang tidak gentlemen ).

nantikan ulasan untuk persoalan kedua dalam entri yang akan datang……

Single Post Navigation

One thought on “Benarkah Imam Mahdi wujud ? # Part 1

  1. azi on said:

    org yg ckp imam mahadi x wujud 2 spe? dia 2 jahil agama ke? or dia 2 dlu bekas pengkut ayah pin…nonsense..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: