Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Peter Guru Bahasa Arab

arabic alphabet

Author : Asma Hanim Mahmood

KENAPA awak selalu pakai begini?” tanya seorang pemuda kulit putih kepada rakan sekampus kerana tertarik dengan pakaian yang dianggapnya kelihatan sopan dengan ciri kewanitaan.

“Kami orang Islam sebab itu kami pakai begini,” jelas sekumpulan gadis-gadis Melayu yang kelihatan manis bertudung yang tiba-tiba menyentap naluri Peter Wood Young untuk mengenali agama itu dan akhirnya memeluk Islam 20 tahun lalu.

Lelaki kurus berjambang yang memilih nama Muhammed Taha Abdullah ini berkata, tudung yang dipakai pelajar wanita Malaysia di Universiti Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat itu telah mencetus rasa ingin tahunya ketika di hujung pengajian tahun pertamanya dalam jurusan fizik dan matematik.

“Saya tidak pernah dengar tentang Islam sebelum itu. Kalau ada pun secara tidak langsung melalui cerita pergolakan di Timur Tengah berkaitan minyak.

“Tetapi tidak ada yang konkrit. Pelajar wanita itu mengenalkan saya kepada beberapa pelajar lelaki Melayu yang lain yang menerangkan apa itu Islam,” kata Muhammed Taha, 40.

Beliau kemudian berulang alik ke masjid bertanya tentang Islam. Para pelajar Malaysia menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran dan menyedarkannya bahawa penganut Islam tidak menyembah sesiapa melainkan Allah kerana Dia Tuhan yang berhak disembah.

Menurutnya, bukan sesuatu yang pelik apabila beliau hanya mengambil masa tiga bulan sebelum mengambil keputusan memilih Islam setelah meneliti secara rasional.

“Realitinya Allah menjadikan manusia untuk menyembah-Nya. Jadi apabila anda mendengar ‘kebenaran’, hati anda tidak akan berupaya menolaknya walaupun sepanjang hidup anda disuapkan fakta yang palsu,” kata Muhammed Taha.

Beliau diIslamkan oleh pelajar dari Kelantan, Mazri Yaakub dan Sufian Ismail pada tahun 1988.

Muhammed Taha telah berada di negeri Serambi Mekah sejak 15 tahun lalu dan berkhidmat sebagai guru bahasa Arab dengan menggunakan pendekatan mudah.

Anak bongsu kepada pasangan jurutera dan profesor universiti ini tidak menghadapi tentangan daripada ibu bapanya walaupun hanya memberitahu tentang anutan barunya setelah memeluk Islam beberapa ketika.

“Saya beritahu ibu, Connie Young, hasrat saya untuk berkahwin dengan isteri, Norliza Ghazali. Ibu pada mulanya terkejut dan bertanya adakah saya memeluk Islam kerana hendak berkahwin kerana dia boleh mencari wanita yang lebih cantik.

“Apabila saya menerangkan saya ikhlas memilih Islam sebagai pedoman hidup, dia tidak marah dan berharap saya istiqamah dengan pegangan saya,” kata Muhammed Taha.

Beliau berkahwin dengan Norliza pada tahun 1990. Norliza, 44, yang berasal dari Kampung Sanggang, Temerloh, Pahang yang ketika itu menyiapkan pengajian sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa di universiti yang sama.

Walau bagaimanapun, pasangan suami isteri ini tidak menyempurnakan pengajian masing-masing di Bridgeport.

Muhammed Taha berhenti apabila mendapat tawaran belajar bahasa Arab di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan membawa Norliza bersamanya dari tahun 1991 hingga 1994.

“Ibu saya juga yang menggalakkan saya ke Madinah. Kebetulan Universiti Bridgeport berdepan dengan masalah kewangan dan mogok kakitangan maka saya nekad berhenti dan mengambil peluang dari program biasiswa yang disediakan untuk orang yang baru memeluk Islam,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Norliza, mereka dikurniakan sembilan anak yang berusia antara 17 hingga 5 tahun.

Muhammed memilih Kelantan sebagai tempat menyebar ilmunya dalam bahasa Arab kerana percaya kecintaan tinggi penduduk di sini kepada bahasa al-Quran itu dan tertarik dengan suasana kehidupan.

“Seorang rakan mencadangkan nama saya kepada Guru Besar untuk mengajar di sebuah sekolah rendah Islam di Kota Bharu. Selepas beberapa bulan, saya membuka kelas bahasa Arab sendiri,” katanya.

Beliau amat mengingati pengalamannya yang berupaya mendapat ijazah dalam jurusan bahasa Arab selepas tiga tahun belajar di Universiti Islam Madinah.

“Saya ke sana tanpa sebarang pengetahuan dalam bahasa ini. Pihak universiti menempatkan saya di asrama bersama-sama pelajar asing yang bukan penutur Inggeris, jadi kami terpaksa bercakap dalam Bahasa Arab.

“Bila keluar ke bandar Madinah juga kita mesti memaksa diri bercakap bahasa Arab. Ditambah dengan kelas tujuh jam sehari, dalam masa tiga bulan saya tidak ada masalah untuk faham dan berinteraksi dengan masyarakat sekitar,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammed Taha terkilan kerana di sebalik kebanjiran pelajar menuntut di sekolah agama dan aliran Arab di Malaysia, hanya sebilangan kecil yang dapat bertutur dan memahami bahasa ini dengan baik.

Katanya, menjadi pengetahuan umum bahawa ramai lepasan universiti Timur Tengah dari negara ini gugup untuk bercakap dalam bahasa Arab.

“Alhamdulillah di Malaysia boleh dikatakan semua anak-anak kecil sudah kenal huruf jawi dan membaca al-Quran dan ramai yang dimasukkan ke sekolah agama untuk belajar bahasa Arab tetapi hakikatnya hanya sedikit mampu berbicara dan memahaminya.

“Kita mengenalkan bahasa Arab sebagai satu subjek akademik, dan mengajarnya dengan tahap silibus sama seperti yang digunakan di negara Arab.

“Memang ia bagus tetapi kita perlu ingat bagi masyarakat Arab, ini adalah bahasa pertuturan seharian mereka,” katanya.

“Sudah tentu tidak payah untuk penuntut di sana mengikuti pelajaran yang ada dalam buku teks mereka. Tetapi bagi yang bukan penutur asal, ia sukar untuk diikuti majoriti pelajar. Sistem yang dipakai mestilah sesuai, mudahkan ia, jangan susah-susahkan.

“Pensyarah saya di Universiti Islam Madinah, Dr. V. Abdul Rahim yang berasal dari Pakistan menggunakan kaedah yang sesuai untuk pelajar bukan penutur asal bahasa Arab.

“Kami kenal bahasa Arab sebagai ‘bahasa’ dan bukan subjek akademik semata-mata,” katanya lagi.

Beliau sentiasa berhubung dengan bekas pensyarahnya memikirkan cara terbaik untuk mengajar kepada orang bukan penutur asal bahasa Arab.

Dr V. Abdul Rahim kini adalah Pengarah Pusat Terjemahan Kompleks Percetakan Quran Al-Malik Fahd, Arab Saudi.

Usaha Muhammed Taha mengajar bahasa Arab selama 15 tahun tidak sia-sia kerana sehingga kini beliau menjadi guru kepada hampir 1,000 orang terdiri daripada dari murid sekolah, doktor, peguam atau pesara.

“Beberapa bekas pelajar saya pula berupaya membuka pusat tuisyen bahasa Arab sendiri di Kelantan dan di Kuala Lumpur. Yang penting kita ajar bahasa ini untuk orang menguasainya bukan untuk menghafal kerana sijil,” katanya yang menyewa sebuah rumah dekat pinggir bandar Kubang Kerian.

Anak-anaknya yang berusia antara 5 hingga 17 tahun berkomunikasi dalam bahasa Arab di rumah. Mereka sering menjadi harapan guru mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.

Anak lelakinya yang sulung, Moosa, berjaya menjadi johan dalam syarahan bahasa Arab peringkat kebangsaan pada tahun 2007. Moosa bersekolah di salah sebuah sekolah agama premier di negeri ini.

Muhammed Taha menggelar dirinya ‘Mat Saleh berkain pelikat’ kerana gemar memakai sarung termasuk semasa keluarga membeli-belah, berhasrat untuk kekal di Kelantan sehingga ke akhir hayatnya.

Katanya, beliau puas dengan kehidupan sederhana yang dimilikinya di sini. Hubungan dengan ibu bapa di Amerika dan abangnya di Britain tetap mesra.

“Namun, hati saya tetap gundah selagi mereka belum menganut Islam,” kata beliau.

Single Post Navigation

4 thoughts on “Peter Guru Bahasa Arab

  1. salam…
    oic…ni cerita ustaz bhs arab aku ni…
    hu3…mana ko amik crita ni??

    • averroes2 on said:

      wassalam…

      aku tahu crita ni psl ust ko…aku just kopi & pasta je utk menjamu org yg ingin membaca… aku pun x brapa igt dari mana aku ambil…tp artikel ni dah lama ada dlm laptop aku. nama pun savingmemoir.wordpress.com mestilah aku bg episodic memory

  2. izne on said:

    asm. kat mana nak cari cikgu Taha nih di KB?

    • averroes2 on said:

      ust taha ada kat KB…dia buka pusat tuisyen bahasa arab jalan dusun muda, kb. x igt nama pusat bhs tu..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: