Saving Memoir

No more update after 1 December 2011 | moved to maktubat.wordpress.com

Archive for the tag “tarian sufi”

Berdakwah Dengan Menari??

Lagi sekali saya rasa terpanggil nak tulis pasal seni tari ni, sebelum ni saya pernah menulis berkaitan tarian breakdance..(anda boleh membacanya di sini ) dan kali ini saya rasa mungkin lebih sensitif bagi sesetengah orang bahkan sesetengah mereka yang tidak bersetuju dengan apa yang saya akan tulis ni sampai ke tahap menjatuhkan hukum bidaah, haram, sesat dan sebagainya berdasarkan hujah mereka. tak perlu la saya sebut di sini siapa mereka itu dan apa hujah mereka, kerana benda tu mudah ditemui dengan menggooglekan ia…haha.

Akhir-akhir ni saya banyak juga melihat video tarian darwish ( Dervish in english) , seronok melihat mereka berpusing-pusing dan juga hairan…mereka ni tak rasa pening ke? haha. Tarian mereka mula-mula perlahan mengikut rentak lagu dan muzik yang dimainkan, bila rentak qasidah, madaih & muzik semakin rancak mereka berpusing makin laju tanpa henti sehinggalah habis qasidah atau mada’ih didendangkan. Boleh tonton di sini..

Jika kita perhatikan tarian darwish seperti dalam video di atas, itu sebenarnya merupakan majlis zikr bagi golongan darwish. Apa yang dilafazkan adalah qasidah-qasidah atau syair-syair indah yang memuji-muji Allah dan Rasulnya Muhammad (S.A.W) diiringi pula dengan zikr Allah..Allah.. dituruti pula dengan alunan muzik yang menjadikan mereka lebih bersemangat memuji-muji Allah. (harus diingatkan bahawa alunan muzik sebegitu masih dalam lingkungan khilaffiyat, bukannya haram dengan ijmak) . Kalau kita lihat pula pada kumpulan tarekat yang lain, mereka juga melakukan hal yang sama iaitu berzikir memuji Allah dengan gerakan dan hayunan badan, walaupun tidak dengan cara berpusing seperti darwish dan tidak pula disertai dengan alatan muzik.

Boleh atau tidak cara mereka berzikir itu anda boleh rujuk keterangan oleh seorang ustaz dengan klik disini. Anda WAJIB membaca artikel tersebut sebelum membaca pandangan saya supaya anda mendapat kefahaman yang jelas dan fitnah dapat dielakkan.

Meluaskan Medium Da’awah

Bagi saya tiada salahnya semua itu selagimana tidak menyeleweng dari landasan al-Qur’an dan Sunnah. Malahan Islam itu satu agama yang syumul yang bersifat menyeluruh membawa rahmat kepada seluruh kehidupan. Gerak kerja da’awah menarik masyarakat ke arah Islam dan mengingati Allah akan lebih rancak dengan adanya medium yang pelbagai ragam. Jika kita ingin menegakkan Islam dengan hanya satu method nescaya amat susah untuk berjaya kerana manusia mempunyai pelbagai sikap & sifat. Bagi mereka yang jiwanya lembut mungkin lebih terkesan dengan hanya menerangkan akan keindahan agama Islam, bagaimana pula dengan mereka yang keras jiwanya? adakah mereka akan menerima Islam dengan cara yang sama? Nah..disitu lah pentingnya kita mempelbagaikan corak da’awah kita.

Amatlah bertepatan method da’awah golongan sufi dengan keadaan sekarang dimana masyarakat terlalu asyik dengan hiburan yang melalaikan. Bukankah indah jika hiburan itu diolah menjadi zikrullah? sudah lumrah manusia, apabila mereka bergembira mereka akan menyanyi dan menari-nari kegembiraan. Jika kita melihat pada sejarah bagaimana Islam sampai di Nusantara, mubaligh yang membawa masuk ajaran Islam ke Nusantara kebanyakannya ahli sufi contohnya Hamzah Fansuri, ar-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Sayyid Husein Jamadil Kubra dan lain-lain. Jika kita melihat bagaimana ahli sufi seperti Wali Songo menarik masyarakat Jawa yang berpegang dengan agama Hindu & Budha kepada Islam, mereka menggunakan hiburan sebagai salah satu alat da’awah. Kerana suasana masyarakat ketika itu suka berhibur lalu salah seorang dari Wali Songo itu mencipta lagu masyarakat yang mengandungi unsur keislaman seperti Tombo Ati. Islam tidak menyekat naluri manusia untuk berhibur tetapi mengawal naluri tersebut dan mendorongnya kepada mengabdikan diri pada Allah.

Begitu juga di lain-lain bahagian dunia Islam, golongan sufi memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam. Semua itu sudah termaktub dalam lipatan sejarah. Di Sudan, kumpulan Tarekat Sanusiyyah merupakan golongan yang aktif menyebarkan Islam dan mereka juga terlibat dalam pentadbiran negara. Malah mereka jugalah yang menentang amalan-amalan khurafat seperti memuja kubur para wali dan sebagainya. Jadi, apakah hujahnya bagi mereka yang mengatakan golongon sufi adalah golongan yang mencipta khurafat dan bidaah? Jelaslah mereka itu buta sejarah. Dalam buku tulisan Sayyed Hossein Nasr bertajuk “A Young Muslim Guide To The Modern World”, beliau menyatakan Islam tersebar ke Parsi, Afrika dan seterusnya ke Sepanyol melalui tentera-tentera Islam. Sebaliknya bagi dunia Asia Timur seperti Pakistan, India, Bangladesh sehinggakan ke Indo-China juga Malaysia-Indonesia adalah melalui contoh tauladan dan aktiviti para ahli sufi. Begitu juga di bahagian Asia Tengah seperti Kyrgystan dan Russia, malahan kebanyakan pejuang kemerdekaan Chechnya adalah mereka yang mengikuti Tarekat Naqsyabandiah. Banyak lagi contoh-contoh yang boleh kita ambil dari lipatan sejarah Islam.

Lihat pula video ini …

Mereka hanyalah berzikir mengingati Allah. Zikr membawa maksud yang luas, jangan lah pula kita sempitkan pengertian zikr hanya dengan bersolat. Solat itu adalah ibadah wajib yang juga satu bentuk zikr kepada Allah seperti firmannya :

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.”  Surah Taha: 14.

Namun, tidak hanya dengan bersolat sahaja. Kita digalakkan supaya mengingati Allah dalam apa jua keadaan sekalipun (ini penting untuk kita berterusan mengingati Allah). Bahkan apa yang anda lihat dalam video di atas dapat disokong dengan ayat berikut :

“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.” Surah Ali Imran:191

Pengalaman saya sendiri melihat golongan kanak-kanak lebih mudah diajak ke surau atau masjid jika ada aktiviti yang menarik perhatian mereka, salah satunya ialah majlis zikr tarekat. Anda sudah mengetahui resultnya jika kanak-kanak berusia 5-8 tahun diajak ke ceramah agama..haha. Mengikut perhatian saya sendiri kerana surau berdekatan rumah saya ada mengadakan majlis zikr tarekat seminggu sekali, kebanyakan kanak-kanak yang “melekat” berjemaah di surau bermula dengan mereka menyertai majlis zikr yang lebih kurang sama dengan video ke-2 di atas. Setelah hati mereka tertarik dengan masjid, tanpa perlu disuruh mereka akan datang untuk solat berjemaah di masjid tanpa ditemani ibubapa, bahkan ada kanak-kanak yang datang ke surau sedangkan ibubapa mereka tidak. Oleh itu, janganlah kita mudah menghukum sesuatu puak kerana mungkin mereka itu lebih baik dari kita atau sebaliknya sebagaimana mafhum ayat al-Quran surah al-Hujuraat:11. Sebagai penuntut ilmu, kita haruslah berlapang dada dalam masalah khilaf dan furu’ supaya kita tidak terjebak dalam aktiviti golongan yang fasik. Oleh itu, jangan sesekali berhenti dalam menuntut ilmu, kerana Sayyidina Ali K.W pernah berkata :

الناس أعداء بما جهلوا

Manusia akan bermusuhan dengan apa yang dia tidak tahu (jahil)

Dunia moden menuntut kita supaya lebih kreatif dalam berda’awah. Kalau ikut teori fizik, Islam itu bersifat elastik bukannya plastik. Jika ada yang melihat Islam itu bersifat plastik, maka itu adalah silap da’ie dalam men’tasawwur’kan Islam dengan betul. Islam memberikan kebebasan minda untuk kita berfikir, apatah lagi jika aqal kita digunakan untuk da’wah sepenuhnya. Kalau kita boleh menerima kumpulan nashid yang mendendangkan nashid dengan menggerak-gerakkan badan mereka kenapa pula tidak untuk majlis zikr sufi yang juga mendendangkan nashid serta zikrullah. Bahkan, majlis zikr itulah lebih afdal kita terima daripada sesetengah kumpulan nashid yang menlagukan nashid yang melekakan dan tidak menepati syara’. Sebaik-baik tarian adalah tarian Dervish.

**Perhatian : Tidak dinafikan banyak kumpulan sufi yang menyeleweng daripada syariah Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan banyak yang sesat dari yang haq. Pandai-pandai la membuat penilaian.

Saya tertarik dengan ulasan M.Fethullah Gulen seorang cendekiawan Islam masa kini di Turki dalam menyatakan ilmu tasawuf dalam bukunya “The Emerald Hill of Heart” :

Tasawuf itu adalah ruh kepada ilmu syariah. Dengan tasawuf, seorang Muslim akan melakukan ibadahnya (syariah) dengan ikhlas dan bersemangat berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Saya bukanlah pengamal tarekat apatah lagi ahli sufi.Masih lagi berusaha menimba ilmu-ilmu Allah yang teramat banyak. Ini sekadar pandangan peribadi berdasarkan tahap ilmu yang saya ada, tidak mustahil pandangan saya ini akan berubah kerana manusia berubah seiring dengan peningkatan Ilmu dan Zaman. Akhir kalam, saya kongsikan kata-kata yang dipinjam dari sahabat saya, Bro.Khalifah Ali :

Pandangan penuh cinta akan membuat setiap aib menjadi tumpul, sebagaimana pandangan kebencian yang selalu membuat sesuatu menjadi buruk (mahfudhat)

Post Navigation

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: